
Mojuntin dalam kenyataan hari ini menjawab tuduhan parti tempatan itu tidak memainkan peranan membendung perlaksanaan projek yang dikatakan tersembunyi itu oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau mengulas laporan FMT yang mana Pengerusi DAP Sabah Stephen wong menuduh Upko menutup dari skim kerakyatan untuk undi yang didakwa itu.
“Pertama sekali, semua tahu Projek IC Dr Mahathir itu bermula pada pertengahan 1980-an dan dipercayai ia bermula sebagai satu helah untuk menggulingkan kerajaan PBS dengan menukar demografi Sabah,” kata Mojuntin.
“Kedua, semasa ia dilakukan, hanya Dr Mahathir dan segelintir orang yang tahu tentang helah itu. Ia tidak terpampang. Ia satu operasi sulit.
“Ketiga, Upko belum ditubuhkan pada masa itu.”
Wong membuat dakwaan itu selepas Pemangku Presiden Upko Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata calon perdana menteri Pakatan Harapan pada PRU14, Dr Mahathir, akan memburukkan lagi masalah pendatang haram di Sabah, yang dipercayai dimulakan oleh Projek IC.
Mojuntin berkata Dr Mahathir mengakui perkara itu dan boleh boleh ditonton di Youtube.
“Semua bukti itu hanya timbul dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja. Tak masuk akal kalau mengharapkan Upko membantah sesuatu yang tidak diketahui orang ramai ketika itu.
“Bukti-bukti baru yang timbul dalam RCI itu menuding pada Dr Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalannya ketika itu.”
Mojuntin mendakwa Wong mahu “mengelirukan rakyat dengan mengalihkan kesalahan daripada orang yang berdosa”.
“Saya tertanya-tanya sama ada Stephen Wong peduli tentang Sabah atau tidak. Masalah pendatang haram ini ibu segala masalah bagi Sabah.
“Projek IC bukan sahaja berjaya mengubah demografi negeri ini tetapi juga membawa bermacam masalah sosial, kesihatan dan ekonomi hingga ke hari ini.”
Menurut Mojuntin, Upko konsisten menyeru kerajaan menyelesaikan isu pendatang haram mendapat dokumen pengenalan Malaysia yang tulen secara salah.
“Parti kami tidak pernah berhenti menyeru mereka yang bertanggungjawab untuk Projek IC di bawa ke muka pengadilan kerana ia melibatkan kedaulatan negara,” katanya.
“Upko mempunyai bukti sokongan daripada tinjauan sendiri yang dijalankan ke atas hampir 1,000 responden di setinggan-setinggan serata negeri.
“Sejumlah besar responden berkata mereka memperoleh kad pengenalan Malaysia pada harga antara RM1,000 hingga RM10,000.”
Beliau berkata penemuan itu dihimpunkan dalam dokumen yang diserahkan kepada RCI yang menyiasat pendatang haram di Sabah.
“Upko bukan hanya turun ke lapangan untuk mencari punca masalah tetapi mendesak satu penyelesaian dengan meminta semua kad pengenalan Malaysia di Sabah ditarik balik, diperiksa dan diberi semula.”
“Oleh itu, Upko berdiri di belakang pemangku presiden bahawa masalah pendatang haram akan lebih buruk jika Pakatan Harapan membentuk kerajaan,” kata Mojuntin.
Beliau tidak boleh terima apabila Wong berkata Pakatan Harapan menerima permohonan maaf Dr Mahathir untuk semua masalah yang dia cipta semasa menjadi perdana menteri.
“Upko mahu tanya DAP bagaimana mereka dengan mudah memaafkan dan melupakan seseorang yang mencipta krisis kerakyatan di Sabah?” kata Mojuntin.
“Apa pendirian DAP terhadap Dr Mahathir dan Anwar sekarang dengan maklumat daripada RCI ini?
“Apakah mereka masih mahu menyokong Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Anwar sebagai ketua umum mereka?”
Beliau berkata Upko tidak akan memaafkan Dr Mahathir kerana memulakan operasi sulit memberikan kad pengenalan kepada pendatang haram seperti yang didedahkan oleh RCI.
‘DAP: Dr M pengkhianat’
Mojuntin teringat apabila pemimpin DAP Lim Kit Siang pada 2013 dalam portal rasmi parti, Roketkini, menganggap Dr Mahathir sebagai seorang pengkhianat kerana penglibatannya dalam pemberian kad pengenalan kepada orang asing secara salah.
“Sekarang, tanpa berkelip mata, Wong berkata Pakatan Harapan dan DAP sudah memaafkan orang yang dilabelkan pengkhianat?
“Dia nampaknya baru sahaja terjaga dari lena yang panjang. Sama ada itu atau dia hanya menipu diri sendiri,” kata Mojuntin.
RCI pada 2014 menyimpulkan bahawa Projek IC mungkin berlaku.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa bagaimanapun berkata penemuan itu berdasarkan kepada testimoni 5 saksi yang tidak melalui pemeriksaan balas.
Beliau berkata penemuan itu menunjukkan tiada ahli politik atau kerajaan terlibat dalam projek itu.
Parti komponen BN di Sabah bagaimanapun bertegas skim sulit itu berlaku.
Pakatan Harapan berkata gabungan pembangkang akan menyelesaikan isu itu jika mereka menubuhkan kerajaan.
PH menuduh BN gagal menyelesaikan isu itu walaupun berkuasa dan selepas penemuan RCI itu didedahkan kepada orang awam lebih 3 tahun lalu.