Terlalu gemuk, kurus kering meningkat di kalangan kanak-kanak Malaysia, kata Unicef

Terlalu gemuk, kurus kering meningkat di kalangan kanak-kanak Malaysia, kata Unicef

Satu dalam 5 kanak-kanak yang tinggal di Kuala Lumpur mengalami pertumbuhan terbantut.

malaysia-kids-reuters
Kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mengalami pembesaran terbantut, menurut kaji selidik Unicef. (Gambar Reuters).
PETALING JAYA:
Sebuah kaji selidik Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati kanak-kanak yang tinggal di rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur mengalami pembesaran terbantut di samping kurang berat badan.

Kaji selidik bertajuk “Kanak-kanak pinggiran: Satu kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di flat kos rendah di Kuala Lumpur” mendapati 1 dalam 5 kanak-kanak di bandar raya itu mengalami pertumbuhan terbantut manakala 1 dalam 10 mengalami kurang berat badan.

Menurut kajian itu, masalah kurang berat badan, terbantut dan kurus kering yang berleluasa di kalangan kanak-kanak berusia bawah 5 tahun adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding purata Kuala Lumpur.

Manakala masalah berat badan berlebihan pula hampir 6 kali ganda (23%) daripada purata Kuala Lumpur (4%).

Kajian yang dijalankan dari 20 Ogos hingga 30 September tahun lepas melibatkan 966 ketua isu rumah dan 2,142 kanak-kanak di 17 lokasi berbeza di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Menurut Unicef, berbanding negara yang mempunyai keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita sama dengan Malaysia, berat badan di kalangan kanak-kanak Malaysia secara perbandingannya adalah tinggi.

“Misalnya hampir 13% kanak-kanak kita yang berusia 5-19 tahun adalah obes (gemuk) dan peratusan ini lebih tinggi daripada Hungary (11), Turki (10%) dan Poland (9%).

“Peratusan kanak-kanak kita yang terbantut pula lebih teruk (20.7%) daripada Ghana (18.8%) walaupun KDNK per kapita Malaysia 6 kali lebih tinggi.

Menurutnya, di Putrajaya, 1 dalam 4 kanak-kanak terbantut, menjadikannya “lebih tinggi daripada purata kebangsaan”.

Manakala di Kelantan, masalah pembesaran terbantut mencapai 34%, lebih teruk daripada kanak-kanak di negara berpendapatan rendah seperti Zimbabwe (27.6%) dan Swaziland (25.5%).

Unicef berkata, masalah terbantut dan anemia yang berleluasa juga meningkat dalam jangka masa satu dekad, di mana pada 2006 sebanyak 17.0% terbantut manakala pada 2016, angka ini naik kepada 20.7%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.