
“Saya mempunyai keraguan mengenai kelayakannya berkenaan keputusannya pada hari ini. Pada saya, dia tidak seharusnya mendengar kes ini,” katanya sewaktu ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membuang permohonan Dr Mahathir dan bekas ahli PPBM Datuk Khairuddin Abu Hassan dan Anina Saadudin, memohon kebenaran untuk merayu keputusan mahkamah iaitu Najib bukan seorang penjawat awam.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada April tahun lepas menyebabkan Najib tidak boleh disaman kerana dakwaan misfeasans. Mahkamah Rayuan pada Ogos membuang rayuan kerana tiada merit.
Raus berkata panel mendapati ada persoalan perlembagaan dan undang-undang untuk diputuskan dalam kes ini tetapi mereka bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.
“Saya tidak faham…dia pegawai awam. Jika tidak, dia tidak akan berada di mana dia berada pada hari ini. Setiap keputusan yang dilakukannya melibatkan kerajaan dan masyarakat. Sudah tentu saya sedih dengan keputusan ini,” kata Dr Mahathir.
Sebelum ini, bekas perdana menteri itu memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan pelantikan Raus dan menghalangnya menjalankan tugas kehakiman dan pentadbirannya.
Namun, ia ditolak Mahkamah Tinggi.
Dr Mahathir, Khairuddin dan Anina memfailkan saman RM2.6 bilion di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lepas dan menamakan Najib sebagai defendan tunggal.
Mereka mahu menuntut Najib membayar semula RM2.6 bilion, yang disalurkan ke akaunnya, dan tambahan RM42 juta yang dikatakan daripada dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.
Video Tony Pua
Sementara itu, pengerusi PH itu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan menolak permohonan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua untuk membatalkan injunksi Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Tinggi pada April tahun lepas membenarkan injunksi yang dipohon Najib untuk menghalang Tony daripada mengulangi dakwaan Najib menyalahgunakan kuasa dengan membenarkan rang undang-undang meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 untuk mengalihkan pandangan daripada isu berkaitan 1MDB.
Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Yaacob Md Sam berkata injunksi diteruskan kerana mahkamah perlu terima pengiktirafan kehakiman bahawa Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali memutuskan Najib tidak melakukan kesalahan dalam isu 1MDB.
“Bukti mengenai 1MDB sehingga hari ini masih tidak ditunjukkan di mahkamah dan rakyat. Rakyat hendak tahu, ketika ini ada 3 laporan terhadap Najib, kenapa laporan ini disorokkan?” katanya.
End of the road for Mahathir, Khairuddin’s abuse of power case against Najib