
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, mangsa, Kau Fu Eng, 71, ditemui anak perempuan dan cucunya kira-kira pukul 5.45 petang semalam.
“Sebelum kejadian mangsa tinggal di rumah berseorangan selepas anak dan cucunya keluar dan apabila pulang mereka mendapati rumah dalam keadaan selerak sebelum menemui mangsa terbaring di atas katil dalam sebuah bilik.
Polis menerima laporan pada pukul 6.13 petang dan berdasarkan hasil siasatan, mangsa dipercayai diserang penyamun disyaki masuk ke dalam rumah dari pintu belakang yang dipercayai tidak berkunci,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.
Katanya, suspek bertindak menjerut leher mangsa menggunakan tuala dan menutup mulut mangsa selepas mangsa menjerit.
Mior Farid berkata siasatan mendapati barang kemas bernilai RM10,000, sebuah tablet dan beberapa jam tangan hilang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.