
Kempen #ForwardTogether diterajui Pertubuhan Pemerkasaan Nasional (PPM) yang mahu mendekati jutaan belia ketika negara bersiap-sedia menghadapi pilihan raya umum yang paling sengit sejak merdeka.
FMT menemubual Danni Rais, jurucakap gerakan itu tentang matlamat kempen itu dan bagaimana mereka mahu mengubah sikap belia daripada tidak peduli kepada pandangan yang positif untuk masa depan negara.
Apa itu #ForwardTogether?
Ia adalah kempen mengajak warga Malaysia berfikiran “mara ke depan”.
Kenapa sekarang?
Memandangkan kita semakin menghampiri pilihan raya, dengan memandang jauh ke depan, adalah tanggungjawab kita untuk mengundi dan memilih parti yang kita percaya mampu memimpin negara ke depan.
Mengapa #ForwardTogether penting untuk pilihanraya?
Akibat terlalu banyaknya perkara negatif dikaitkan dengan parti-parti politik, hingga kini wujudnya satu kumpulan anak muda yang menggerakkan kempen #UndiRosak, mengajak orang ramai merosakkan undi dan tidak mengambil bahagian dalam proses pilihanraya.
Ya, kedua-dua belah pihak ada kelemahannya. Namun, ini tidak boleh menjadi halangan untuk mengundi. Sekiranya rakyat merosakkan undi, mereka akan kehilangan peluang untuk menentukan hala tuju masa depan mereka.
Mengapakah PPM yang menerajui kempen ini?
Sebagai sebuah NGO yang tumpu pada inisiatif-inisiatif belia dan pembangunan negara, kami berpendapat inilah peluang terbaik bagi kami untuk membantu mendidik semua tentang kepentingan pembangunan demokrasi secara positif berbanding tidak mengundi.
PPM ditubuhkan pada 2014. Sejak dulu lagi, kami terlibat secara aktif dalam inisiatif-inisiatif pembangunan negara. Projek-projek kami berdasarkan pendidikan, demokrasi, teknologi, pemerkasaan wanita dan keusahawanan.
Antara tumpuan utama PPM adalah usaha menambahbaik mutu sistem demokrasi negara. Ia bermula dengan menambah penyertaan rakyat dalam proses demokrasi. Jadi kami mahu mengajak seramai mungkin orang mengundi!
Kami mempunyai keahlian sebanyak 1,000 belia dan lebih 2 juta pengikut muda dalam talian setiap tahun. Kami berpendapat pengaruh ini perlu digunakan sebaiknya untuk menggalakkan belia mengundi.
#UndiRosak mendakwa mereka berhak merosakkan undi. Adakah #ForwardTogether menafikan hak tersebut?
Memang tidak dinafikan sesiapa pun berhak merosakkan undi, tetapi kami percaya ia adalah satu langkah keterbelakang sedangkan orang lain berusaha keras mengukuhkan demokrasi.
Untuk mengukuhkan demokrasi, kita memerlukan seramai orang yang mungkin untuk memainkan peranan dalam menentukan siapa yang bakal memimpin negara. Mandat diperlukan bagi memastikan kerajaan yang ditubuhkan bergerak lancar.
#ForwardTogether antithesis kepada #UndiRosak. Kami berhasrat untuk menggalakkan belia untuk mengundi bagi memperkasakan masa depan mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan mempunyai “pemikiran mara ke depan” dalam mengundi?
#ForwardTogether bukan hanya menyentuh soal mengundi sahaja. Kempen ini ingin menerapkan nilai fikiran positif dan memandang jauh ke depan dalam kalangan belia.
Dalam konteks mengundi, kami menggalakkan belia untuk melakukannya secara objektif dan bukan mengikut emosi semata-mata. Untuk seketika, lupakan tentang parti-parti politik yang bertanding dalam PRU14. Kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah perkara yang benar-benar penting untuk kita?
Perumahan mampu milik? Pendidikan? Pembangunan kerjaya? Prasarana? Kestabilan? Kepastian? Perkhidmatan kesihatan yang baik? Agama? Peluang ekonomi?
Kemudian, teliti rekod prestasi parti-parti politik. Apakah prestasi mereka dalam perkara-perkara tersebut? Adalah sangat penting untuk kita mengundi demi menentukan siapa yang akan mewakili kita 5 tahun akan datang.
Anda mengatakan kita patut mengundi atas perkara-perkara positif, adakah ini bermaksud kita patut mengabaikan segala yang negatif?
Sudah tentu tidak! Akan tetapi kita harus sedar kedua-dua belah pihak mempunyai kelemahan.
Kita perlu mendesak parti-parti mengenai akauntibiliti. Tetapi pada masa yang sama, jangan pula sampai kita terlepas pandang perkara-perkara baik yang ditawarkan oleh kedua-dua pihak yang boleh memanfaatkan kita kelak.
Apakah rancangan PPM dalam memperkasakan golongan belia untuk mengundi #ForwardTogether?
Inilah masanya untuk anak muda menilai parti-parti yang akan bertanding. Kita tidak boleh mudah dipengaruhi sandirawa politik dan retorik apabila mengundi.
Kita orang muda yang boleh berfikir dan menilai parti politik yang bertanding dalam semua aspek.