
Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab dipetik China Press berkata, arahan itu dikeluarkan Rabu lalu dan berkuat kuasa serta-merta sehingga Mei ini.
Ia turut merangkumi ketua polis, timbalannya dan pegawai peringkat pengarah tidak dibenarkan bercuti ke luar negara.
Akhbar itu juga difahamkan 40 hari akan datang adalah “tempoh sangat penting” untuk PRU14, jika tiada sebarang halangan.
Ghafar berkata, sebaik sahaja tarikh PRU14 diumumkan, polis turut akan membekukan semua cuti dalam negara.
“Ketika ini, pasukan polis hanya membekukan cuti luar negara, tetapi perjalanan kerja luar negara, khasnya mesyuarat, forum dan program lain untuk pengarah Bukit Aman yang diaturkan sejak awal tidak terjejas, masih dibenarkan,” katanya dipetik akhbar itu.
Sebelum ini, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Azizan Abu Bakar dilaporkan berkata, polis dengan kekuatan 130,000 anggota selesai membuat persiapan dengan menjalani pelbagai latihan bagi memastikan PRU14 berjalan lancar.
Semalam, syarikat penerbangan sewa serantau di Sabah, Layang-Layang Aerospace dilaporkan bersiap sedia untuk PRU14, dengan semua pesawatnya dijangka ditempah sepanjang tempoh itu.
Pengarah Akademi Helikopter Layang-Layang Sdn Bhd, Eric Lee berkata mereka “menerima banyak pertanyaan”, termasuk daripada Suruhanjaya Pilihan Raya, tetapi belum ada tempahan diterima.
Syarikat penerbangan sewa di Sabah sedia terima tempahan PRU14