Noh: Kenapa Selangor serah tanah Ijok kepada kroni BN?

Noh: Kenapa Selangor serah tanah Ijok kepada kroni BN?

Pengerusi BN Selangor itu berkata, tindakan dan dakwaan kerajaan negeri dilihat tidak munasabah, selain cuba memutar belit isu tersebut dengan menyalahkan BN.

noh-omar_azmin-ali_new_600
TANJONG KARANG:
Barisan Nasional (BN) Selangor hari ini mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menyerahkan tanah di mukim Ijok yang sebelum ini dirampas daripada 2 pemaju perumahan yang dilabel “kroni BN”.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar, berkata tindakan dan dakwaan kerajaan Selangor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu dilihat tidak munasabah, selain cuba memutar belit isu tersebut dengan menyalahkan BN.

“Saya tidak faham dengan tindakan kerajaan negeri ini…mengapa tanah yang dirampas kerajaan Selangor pada 2009, dipulangkan semula kepada 2 syarikat berkenaan, sedangkan mereka mendakwa syarikat itu kroni BN.

“Kalau syarikat itu kroni BN seperti didakwa, mengapa menyerahkan tanah itu semula kepada 2 syarikat berkenaan sebelum tanah tersebut dijual pula kepada pihak ketiga? Kenapa dibantu kroni BN ini?” katanya selepas menghadiri mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Burong hari ini.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu mengulas kenyataan Pejabat Menteri Besar Selangor semalam yang mendakwa 2 syarikat pemaju terbabit dalam isu tanah di kawasan itu, iaitu Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd sebagai kroni BN.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, isu pemulangan tanah itu turut menimbulkan pelbagai persoalan lain, termasuk nilai pampasan tanah yang dibayar kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Mengikut harga pasaran terkini, dianggarkan tanah tersebut bernilai RM500,000 untuk 1 ekar, tetapi apa yang saya maklum, mereka hanya menerima pampasan tunai berjumlah RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000.

“Sekiranya tanah itu boleh dijual kepada pihak ketiga mengikut harga pasaran terkini berjumlah RM1.18 bilion, mengapa pampasan yang diterima penduduk masih mengikut harga lama pada 2000,” katanya.

Azmin sebelum ini dilapor mengumumkan pembayaran pampasan kepada semua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000 melibatkan nilai keseluruhan RM421.4 juta.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil menuntut penjelasan, termasuk Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Dr Mohamed Satim Diman yang mempertikaikan jumlah pampasan diberikan kerajaan negeri.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut mempersoalkan kewajaran Azmin menyerahkan tanah kepada 2 syarikat tersebut pada 2016, tanpa menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Ini memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada 2013 dan 2014 memihak kepada kerajaan negeri dalam kes mengambil alih semula tanah daripada 2 syarikat berkenaan.

Peguam: Cara Azmin selesaikan 30 kes, lindungi Selangor, Khalid

Umno panik masalah tanah Ijok selesai, kata pegawai Azmin

Tanah Ijok: Azmin tak jawab soalan, kata Rahman Dahlan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.