
Perdana menteri berkata, walaupun berdepan saingan sengit, aliran masuk bersih pelaburan asing mencecah RM10.8 bilion dalam pasaran ekuiti negara tahun lalu, tertinggi sejak 2012, adalah bukti keyakinan pelabur asing terhadap cara kerajaan menguruskan ekonomi negara.
“Banyak syarikat dari luar mahu menjalankan perniagaan dengan kita kerana kekuatan ekonomi, kemampanan dan sentiasa berprestasi tinggi.
“Program Transformasi Ekonomi yang kita laksanakan pada 2010 sudah berhasil dan terus membuahkan hasil,” katanya dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kerajaan Malaysia dengan SK Group – konglomerat ke-2 terbesar di Korea Selatan, hari ini.
Najib berkata, melalui kerjasama itu, Malaysia boleh terus menerokai bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta rangkaian generasi ke-5 (5G), minyak dan gas, teknologi hijau serta bandar pintar.
Katanya, ekonomi negara semakin kukuh selepas kerajaan berjaya mewujudkan 2.26 juta pekerjaan baharu, mengekalkan kadar penggangguran dan inflasi pada tahap rendah serta pertumbuhan ekonomi sihat setiap tahun, termasuk pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.9% tahun lalu.
“(Ia juga disebabkan) Persekitaran perniagaan yang stabil dan membangun, asas yang kuat, tenaga kerja berbakat, lokasi strategik dan inovasi kreatif dihasilkan kerajaan Malaysia.”