
Megat Firdouz, 48, turut menyangkal dakwaan syarikat tersebut dilantik menggunakan peruntukan disalurkan KBS bagi tujuan politik menteri berkenaan.
Saksi pendakwaan ke-47 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Otman Arshad, 59, pada perbicaraan Otman yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan RM38.4 juta, enam tahun lepas.
Megat Firdouz juga tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Rafique iaitu program dilaksanakan di KBS dikendalikan pembekal berkaitan secara langsung dengan Khairy, yang juga ahli Parlimen Rembau, Negeri Sembilan.
Muhammad Rafique: Saya cadangkan kebanyakan pembekal yang ingin berjumpa kamu untuk mendapatkan kerja berkaitan program terdiri daripada ahli Umno pelbagai peringkat dan ada yang mengenali YB Khairy?
Megat Firdouz: Tidak setuju.
Muhammad Rafique: Saya juga cadangkan kepada kamu bahawa seorang daripada pembekal itu ialah Halmi Khalid, yang merupakan pemilik beberapa syarikat dan juga anggota UMNO?
Megat Firdouz: Tidak setuju.
Saksi itu berkata beliau juga tidak mempunyai pengetahuan dan tidak pernah beri arahan kepada Otman untuk memberi taklimat mengenai perolehan dan tender di kementerian itu yang diadakan di Plaza Damas 3, pada 2014.
Ketika pemeriksaan semula, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @Zainol mengenai cadangan Muhammad Rafique, terdapat pelbagai permohonan dikemukakan pihak pembekal sejak Khairy memegang jawatan menteri kementerian itu, Megat Firdouz berkata pembekal tersebut tidak pernah datang berjumpanya.
“Saya selaku Setiausaha Politik YB Khairy tidak pernah menduduki mana-mana jawatankuasa, sama ada pembekalan atau tender berkaitan kewangan untuk membolehkan mereka (pembekal) membekalkan apa-apa sahaja dalam program kementerian.”
Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil aktiviti haram menerusi akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.
Selain Otman, pengarah syarikat pembekal barangan sukan bawah KBS, Abdul Gafar Abdurahiman, 44, dan isterinya Siti Rohanah Hussien, 44, suri rumah, masing-masing berdepan 63 pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM15,723,000 hasil aktiviti haram menerusi 63 transaksi daripada akaun bank 3 syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa sama.
Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.
Otman, Abdul Gafar dan Siti Rohanah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum 5 tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA), membawa hukuman penjara hingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung pada 19 Mac.