Najib: Malaysia tidak bankrap

Najib: Malaysia tidak bankrap

Najib yang juga menteri kewangan berkata Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia, 5.9% pada 2017 dan kadar inflasi dan pengangguran rendah.

Gambar Blogspot najibrazak.com
Gambar Blogspot najibrazak.com
KUALA LUMPUR:
Perdana menteri hari ini menegaskan, negara tidak bankrap memandangkan kerajaan berjaya mengurangkan hutangnya kepada 50.4% berbanding 55% had ditetapkan sendiri, dengan rizab asing lebih tinggi serta projek infrastruktur berterusan.

Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan membuat keputusan berani seperti melaksanakan Program Transformasi Ekonomi (ETP) bagi menjana ekonomi, termasuk 2.26 juta pekerjaan diwujudkan, dengan purata pendapatan meningkat antara 5.0% dan 6.0% setahun.

“Kita sendiri menetapkan had 55% daripada KDNK, dan menurunkannya kepada 50.4%.

“Semasa Krisis Kewangan Asia, rizab negara susut kepada AS$20 bilion, kita tak pun bankrap. Kini rizab kita AS$124 bilion, bagaimana nak kata kita bankrap? ” katanya pada program Bajet 2018 Bersama Rakyat.

Turut hadir, Pengerusi Permodalan Nasional Bhd Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Najib yang juga menteri kewangan berkata Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia, sebanyak 5.9% pada 2017, serta kadar inflasi dan kadar pengangguran rendah.

“Ini gambaran besar. Pencapaian kita ini dapat ulasan sangat baik daripada organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia yang memuji Malaysia memandangkan ekonomi kita bergerak ke arah betul, dan dasar kita menunjukkan hasil positif termasuk beberapa langkah yang diambil,” katanya.

Najib berkata kerajaan juga mendengar kehendak rakyat dan Bajet 2018 menanganinya.

“Kita tolong rakyat supaya apa dikutip melalui GST dan cukai lain, kita gunakan untuk beri balik kepada rakyat. Banyak kita beri balik kepada rakyat seperti bayaran khas untuk penjawat awam disebabkan asas pendapatan kita semakin kukuh.

“Kerajaan hari ini akan menjaga kebajikan rakyat dan akan meneruskannya,” katanya dan menambah, kerajaan akan membetulkan beberapa keputusan sebelum membabitkan jalan tol.

“Saya akan betulkan beberapa keputusan dibuat sebelum ini, saya lihat tidak memberi manfaat kepada rakyat Malaysia. Saya akan lakukan. Kami sudah semak semula IPP, penswastaan yang tidak popular, urus niaga yang saya anggap memihak kepada pihak tertentu. Tol… kalau ada baki lagi… saya akan semak semula.

“Yang mana terpaksa selamatkan, kita akan selamatkan. Proton… terlalu besar untuk gagal. Kita akan pastikan Proton teruskan kelangsungan hidup, namun akan distrukturkan semula supaya lebih kompetitif,” katanya.

Dalam Bajet 2018, kutipan tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Shah Alam, Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Lebuh Raya Penyuraian Timur di Johor, dimansuhkan mulai 1 Januari lepas.

“Kami yakin kita boleh bawa negara ini ke arah lebih tinggi. Kita akan sampai ke situ. Kami akan susun semula mana tidak betul dan maju ke depan. Namun saya tidak kata kerajaan sekarang tidak ada kesilapan. Saya dengan rendah hati mengakui ada kelemahan dalam kerajaan, namun kerajaan bersedia untuk belajar daripada kesilapan dan menambah baik tadbir urus,” kata Najib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.