
Permohonan difailkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Penaja PH Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PPBM Datuk Shahruddin Md Salleh, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Timbalan Setiausaha Agung Amanah Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
Keempat-empat parti pembangkang nasional itu membentuk Pakatan Harapan untuk menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.
Ketua Biro Perundangan PH Gobind Singh Deo berkata permohonan bertulis yang diserahkan pada 24 Julai tahun lepas masih belum ditentukan walaupun hampir 7 bulan berlalu.
PRU14 perlu dipanggil sebelum berakhir penggal kerajaan pada Jun. Keempat-empat parti itu berhasrat untuk menyertai pilihan raya bawah 1 logo.
“Kami sekarang memohon kepada mahkamah supaya mahkamah memberi kami satu perintah agar JPPM membalas surat itu,” katanya kepada pemberita di lobi Mahkamah Tinggi hari ini.
Semalam, calon perdana menteri PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata gabungan itu mahu menggunakan undang-undang bagi memaksa JPM memberi maklum balas kepada pertanyaan-pertanyaan mereka tentang status permohonan itu.
Dr Mahathir berkata kegagalan JPPM memberi kesan buruk kepada parti pembangkang kerana mereka tidak boleh membuat persiapan pilihan raya melawan gabungan pemerintah.
JPPM sebelum ini berkata kegagalan PPBM mengadakan mesyuarat agung tahunan pertama serta pertikaian tentang status jawatankuasa eksekutif pusat DAP antara sebab kelewatan itu.
PPBM sudah mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara JPPM sudah mengiktraif barisan baharu kepimpinan DAP.
Gobind berkata tindakan berdiam diri di pihak JPPM boleh dianggap “mala fide” (berniat jahat) dan berkata dengan permohonan ini badan itu akan terpaksa menjawab pertanyaan mereka.
“Dari segi undang-undang ia menjadi asas untuk kita memohon supaya mahkamah mengarahkan JPPM,” katanya.
Gobind berkata PH juga akan memohon tarikh pendengaran awal bagi mempercepat proses menentukan merit permohonan mereka.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPPM Surayati Ibrahim ketika dihubungi FMT tidak mahu mengulas perkembangan hari ini.
“Saya tak ada komen, saya tak nak tahu pun tentang isu itu. Sepatutnya penasihat undang-undang Kementerian Dalam Negeri yang akan jawab benda-benda macam ini. Saya tak tahu lah tindakan mereka,” katanya.
PH heret JPPM ke mahkamah kerana gagal jawab status pendaftaran