
Yap Kai Chai, 59, berdepan 3 pertuduhan, iaitu satu kes bersama adik iparnya, Ling Mei Nar, 42, dan 2 kes bersama anak lelakinya, Yap Chang Hong, 26.
Mereka mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan itu dibacakan di depan Hakim Jailani Rahman.
Kai Chai dan Ling, yang merupakan rakan kongsi perniagaan TCM Yongtai Lian, didakwa menawarkan pembekalan seunit susu rumusan bayi Enfalac A+ Step 1 (1.8kg) yang baginya suatu perihal dagangan palsu yang digunakan seolah-olah ia adalah cap dagangan berdaftar “Enfalac”.
Mereka didakwa berbuat demikian di premis kedai TCM Yongtai Lian di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, Skudai, kira-kira 1 tengah hari 7 Disember lalu.
Bagi pertuduhan ke-2, Kai Chai dan Chang Hong yang merupakan rakan kongsi perniagaan kedai ubat dan runcit Yong Thye Lian, didakwa melakukan perbuatan sama di premis kedai mereka di Jalan Bestari 4/2, Taman Nusa Bestari, Skudai, kira-kira 2 petang hari sama.
Untuk kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 (2)(B) akta sama, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan dagangan atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan ke-3, Kai Chai dan anak lelakinya didakwa berada dalam kawalan mereka membekalkan 208 unit susu rumusan bayi di sebuah premis di Jalan Orkid 17, Taman Seri Orkid, jam 4.40 petang hari sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum dengan Seksyen 8 (2)(B) akta sama.
Hakim kemudian menetapkan 23 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi proses representasi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam C S Lim.
KPDNKK, Mead Johnson tahu susu tepung tiruan wujud setahun lalu