
Beliau berkata perkara itu dibuktikan melalui kesungguhan kerajaannya memperuntukkan dana setiap tahun kepada sekolah-sekolah dan rumah-rumah ibadat bukan Islam.
“Kami ikhlas memastikan keperluan semua rakyat di Sabah dipenuhi dan terjaga dalam cara yang adil dan sama,” katanya di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Sabah malam tadi.
Musa berkata kerajaan negeri bersungguh memastikan prinsip kestabilan politik, kemajuan ekonomi dan kemakmuran sosial ditegakkan.
“Memandangkan perkara ini, kami akan terus bekerja ke arah mengukuhkan nilai-nilai positif yang wujud demi manfaat rakyat,” katanya.
“Kerajaan negeri juga berterusan bekerja keras menambahbaik mutu kehidupan rakyat dan mengekalkan keharmonian dan kestabilan negeri.”
Musa menyeru rakyat mengelak daripada perkara-perkara negatif yang boleh memberi kesan pada perpaduan dan kestabilan negeri kerana ia boleh menghalang cita-cita kerajaan negeri membawa lebih banyak kemajuan ke Sabah secara berkesan.
“Masyarakat Cina di Sabah mesti memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan di samping memainkan peranan dalam pembangunan dan kemajuan negeri.
“Dengan sokongan ini, saya percaya kestabilan politik, perpaduan, keharmonian dan nilai-nilai saling menerima yang kita amalkan di Sabah akan terus menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Sabah.”