Cina Kelantan nafi ditindas ‘adik-beradik’ sendiri

Cina Kelantan nafi ditindas ‘adik-beradik’ sendiri

Dataran Cheng Ho di tengah-tengah bandar Kota Bharu mercu tanda hubungan baik orang Cina dan Melayu Kelantan yang mungkin sukar difahami 'orang luar'.

gambar_cina_kelantan_123
KOTA BHARU:
Dataran Cheng Ho di tengah-tengah bandar Kota Bharu begitu menonjol kerana ia menjadi tempat berhimpunnya para peniaga berketurunan Cina.

Dataran bersempena laksamana terkenal Dinasti Ming itu mercu tanda masyarakat Cina Kelantan di tengah lautan orang Melayu. Kelantan salah satu nusa teras Melayu di Malaysia Barat, di mana kira-kira 5% penduduk bukan berbangsa Melayu.

Hasil cetusan idea bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dataran Cheng Ho terletak di Jalan Kebun Sultan/Haji Cheng Ho, sebatang jalan yang merentasi sebuah perkampungan (Kampung Sultan) dan dikelilingi 3 kampung lain (Kampung Telaga Nibong, Kampung Paya Bemban dan Kampung Pak Nik Ya).

“Kalau di bandar di negeri-negeri lain, orang Islam dan bukan Islam akan berasa lain untuk bersama tapi kita di Kelantan rapat ini macam…adik-beradik,” kata Lim Kham Hong, presiden Persatuan Peranakan Cina Kelantan (PCK).

gambar_cina_kelantan
Lim (kiri): Hubungan orang Cina dan Melayu seperti di Kelantan payah ditemui di negeri lain.

FMT menghubungi beliau untuk melihat mengapa dataran ini begitu penting buat masyarakat Kelantan dan politik dari negeri itu, yang lebih terkenal dengan jenama Islamis dan PAS.

Hubungan antara kaum, terutamanya antara orang Melayu dan orang Cina, yang membentuk minoriti terbesar di Malaysia Barat, sering menjadi perbualan hangat setiap tahun terutamanya apabila mendekati musim pilihan raya.

“Kita sudah zaman berzaman dengan orang Melayu, sama juga dengan orang Siam. Kalau berniaga orang Melayu boleh jaga kedai orang Cina, orang Cina boleh jaga kedai orang Melayu,” kata Lim.

“Sama juga dengan anak, orang Cina boleh jaga anak orang Melayu, orang Melayu boleh jaga anak orang Cina. Inilah keunikan masyarakat Kelantan. Hubungan akrab sebegini tidak berlaku di tempat lain.”

Mereka yang bising ‘orang luar’

Memasuki Dataran Cheng Ho, pengunjung akan disambut pintu gerbang dalam gaya seni bina Cina. Walaupun majoriti peniaga adalah orang Cina, peniaga Melayu juga kelihatan terutamanya di sebelah malam.

gambar_cina_kelantan_1
Masyarakat Cina yang meraikan perasmian gerbang Dataran Cheng Ho pada Oktober 2017.

Dataran ini salah satu daripada banyak mercu tanda yang meraikan masyarakat Cina di Kelantan. Nik Aziz, seorang tokoh agama yang dihormati di Kelantan, dikatakan sudah lama memikirkan mercu tanda ini.

“Dakwaan kononnya orang bukan Islam Kelantan dipinggirkan dan dilayan dengan teruk oleh kerajaan negeri tidak benar sama sekali,” kata Lim.

Menurut Lim, terdapat lebih 35,000 peranakan Cina meliputi 69 buah kampung di sepanjang Sungai Kelantan. Penempatan terbesar dikatakan Kampung Pasir Parit, Pasir Mas.

gambar_cina_kelantan_12
Jalan Kebun Sultan/Haji Cheng Ho lubuk makanan yang penting buat masyarakat Kelantan

“Walaupun berbeza agama, orang Cina tahu pantang larang orang Islam. Orang Melayu juga faham jiwa kita.”

Beliau merasakan perbezaan pandangan selalunya ditimbulkan oleh orang dari luar negeri yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan budaya Kelantan.

“Mereka yang bising itu orang luar Kelantan datang berniaga di sini, jadi mereka tak sesuai dengan masyarakat di Kelantan, jadi timbul masalah ‘itu tak boleh, ini tak boleh’.

“Hubungan kami terlalu rapat kadang-kadang orang Islam terikut duduk dengan kita bila kita sedang minum arak…macam keluarga sendiri tapi mereka tidak minum. Mereka hormat hak kita. Itu unik di sini…payah nak cari di tempat lain.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.