
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata berdasarkan laporan bedah siasat ke atas Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus yang selesai kira-kira 3.00 petang tadi, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan luar otak.
“Hasil bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) mendapati bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak iaitu bahagian temporal, parietal serta oksipital.
“Hasil bedah siasat juga mendapati banyak kesan lebam, laserasi dan calar pada tubuh bayi malang berkenaan dari bahagian kepala, muka, mulut, badan, kedua-dua lengan atas serta kedua-dua kakinya,” katanya hari ini.
Menurutnya, kemaluan bayi itu juga mempunyai kesan lelasan selain kesan gigitan pada kedua-dua belah tangan, kecederaan pada bibir, banyak kesan patah dan penyembuhan pada tulang rusuk kiri dan kanan serta lengan kanan selain kesan patah yang baru pada tulang paha kiri.
Beliau berkata hasil pemeriksaan dalaman pula menunjukkan kesan pendarahan banyak di bawah kulit kepala, pendarahan pada bahagian otak selain organ otaknya juga membengkak akibat pendarahan.
Nik Ros Azhan berkata kecederaan luaran itu dipercayai disebabkan objek tumpul dan keras seperti dilempar ke lantai, dinding dan pintu termasuk perbuatan cubit dan hentakan manakala kecederaan dalaman disebabkan hentakan kuat sehingga menyebabkan pendarahan.
Beliau berkata siasatan awal polis mendapati bayi berkenaan dipercayai didera ahli keluarga terdekat.
Bayi tersebut anak ke-2 pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 22 tahun dan turut mempunyai anak lelaki berusia setahun setengah.
Hari ini pasangan itu direman 7 hari bagi membantu siasatan kes itu menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Mengulas penahanan pasangan berkenaan, Nik Roshan Azhan berkata ujian air kencing didapati negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau.
“Difahamkan keluarga bayi ini akan menuntut jenazahnya esok,” katanya.
Semalam, dilaporkan Nurul Ain Umairah yang dilahirkan pada 30 Disember lepas, meninggal dunia kira-kira pukul 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke hospital.
Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori mendakwa anaknya itu enggan minum susu sejak malam Rabu dan semakin lemah pagi semalam sebelum dia dan isteri membawa bayi berkenaan ke sebuah klinik swasta di Sungai Rambai.
Bagaimanapun, doktor di klinik tersebut yang mendapati denyutan jantung bayi itu semakin lemah meminta pasangan berkenaan membawa Nurul Ain Umairah ke HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.