Zuma letak jawatan sebagai presiden Afrika Selatan

Zuma letak jawatan sebagai presiden Afrika Selatan

Pemimpin itu berkata walaupun tidak bersetuju dengan keputusan Kongres Nasional Afrika untuk memecatnya, beliau letak jawatan sebagai presiden republik tersebut.

zuma
JOHANNESBURG: Jacob Zuma, 75, akhirnya tunduk kepada tekanan dan meletak jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

“ANC tidak sepatutnya berpecah-belah kerana saya. Oleh itu, saya memutuskan untuk meletak jawatan,” umum Zuma ketika berucap kepada rakyat.

Pemimpin dilanda masalah itu berkata walaupun tidak bersetuju dengan keputusan Kongres Nasional Afrika (ANC) untuk memecatnya, beliau akan meletak jawatan sebagai presiden republik tersebut.

Peletakan jawatan Zuma susulan kekacauan selama 2 minggu dalam parti pemerintah selepas beliau enggan berundur apabila diminta berbuat demikian oleh pemimpin tertinggi ANC.

Mesyuarat jawatankuasa eksekutif kebangsaan ANC pada Isnin memutuskan untuk memecat Zuma sebagai presiden dan memberi tempoh kepada beliau sehingga Rabu untuk mengundurkan diri daripada jawatan tertinggi itu.

Pada Rabu, Zuma berkata beliau tidak diberi peluang memberi penjelasan tentang kesalahannya dan mendakwa menjadi mangsa kepimpinan ANC.

Peletakan jawatan Zuma menyaksikan Timbalan Presiden Cyril Ramaphosa dilantik sebagai Pemangku Presiden Afrika Selatan.

Beliau akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Afrika Selatan pada Khamis atau Jumaat.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.