
Ketua Penerangan Pemuda PPBM Selangor, Nik Fathurahman Nik Rasli, berkata ia merupakan pengiktirafan Malaysia kepada Israel, dan mendakwa digunakan sebagai modal menyebarkan propaganda zionis dalam media sosial.
“Pemuda PPBM Selangor ingin mendesak agar menteri bertanggungjawab tampil memberi penjelasan, memohon maaf kepada kedua-dua rakyat Palestin dan Malaysia,” katanya.
Akhbar Times of Israel memetik jurucakap Kementerian Luar Israel mengesahkan diplomat kanan diketuai bekas timbalan duta negara itu ke PBB, David Roet hadir dalam World Urban Forum (WUF), yang berakhir semalam di Kuala Lumpur.
Roet memasuki Malaysia menggunakan pasport diplomatik Israel turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia, menurut laporan itu.
Dalam beberapa kiriman di Twitter, Roet menyifatkan lawatannya ke Malaysia sebagai “pengalaman unik” dan menambah beliau “berbangga mengetuai delegasi rasmi Israel”.
“Saya mempunyai harapan besar tentang hubungan baik kedua-dua negara di masa depan,” kata Roet.
Difahamkan antara syarat Malaysia menjadi tuan rumah forum itu ialah membenarkan semua perwakilan mengambil bahagian, termasuk Israel yang tidak mempunyai hubungan dua hala dengan Malaysia.
Menurut Fathurahman, alasan syarat ditetapkan PBB tidak boleh diterima.
“Ia sebagaimana Israel tidak mengiktiraf atau menghormati hak rakyat Palestin selama lebih dari 60 tahun,” katanya.
Menurutnya, ia menunjukkan pimpinan Umno tidak bersungguh-sungguh memperjuangkan isu Palestin dan menggunakannya sebagai modal politik.
“Persoalannya adalah, apakah sudah menjadi lazim bagi kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib Razak untuk memberi layanan istimewa kepada kumpulan pengganas?
“Benarkah Kerajaan ‘Islam’ Umno ikhlas dan bersungguh dalam menjuarai isu hak rakyat Palestin atau adakah ianya satu lagi retorik Umno yang mahu menunggang sentimen rakyat Malaysia yang bersimpati terhadap saudara mereka di Palestin?” soalnya.
Diplomat kanan Israel hadir sidang KL, bertemu pegawai Malaysia