Nufam gesa Malaysia Airlines ambil semula bekas pekerja berpengalaman

Nufam gesa Malaysia Airlines ambil semula bekas pekerja berpengalaman

Nufam berkata, langkah itu mampu mengurangkan beban kos operasi Malaysia Airlines yang sehingga ini belum mendapat keuntungan.

Nufam-mas-3
PETALING JAYA: Persatuan mewakili pramugara dan anak kapal menggesa Malaysia Airlines Bhd mengambil semula bekas pekerja syarikat itu yang diberhentikan pada 2015.

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) berkata, langkah itu mampu mengurangkan beban kos operasi Malaysia Airlines yang sehingga ini belum mendapat keuntungan.

“Syarikat Malaysia Airlines Bhd belum ada keuntungan, tapi sudah mula ambil pekerja baharu untuk menampung operasi destinasi penerbangan baharu mereka.

“Jadi, eloklah syarikat itu mengambil pekerja berpengalaman. Mengambil pekerja baharu boleh membawa pembaziran,” katanya dalam kenyataan kepada FMT hari ini.

Jumaat lalu, Malaysia Airlines dilaporkan sedang mencari pekerja baharu, selepas memberhentikan kira-kira 6,000 pekerjanya 3 tahun lalu sebagai sebahagian usaha penstrukturan semula.

Pengambilan itu sejajar hasrat Malaysia Airlines memperbesarkan saiz angkatan dan rangkaiannya.

Syarikat penerbangan nasional itu menyenaraikan kekosongan anak kapal dan 11 lagi jawatan lain, antaranya penganalisis, kapten, pegawai atasan, keselamatan penerbangan dan pelatih khidmat pelanggan, dalam ruangan kerjaya di laman webnya.

Malaysia Airlines dilaporkan mengadakan 3 pameran kerjaya sejak awal tahun ini bagi merekrut anak kapal di Pulau Pinang, Melaka, Pahang dan Petaling Jaya.

Nufam berkata, ramai pekerja yang diberhentikan itu belum ada pekerjaan tetap dan ada yang terpaksa bekerja sebagai pemandu perkhidmatan perkongsian kenderaan.

“Ada yang bawa Uber, GrabCar dan menjual nasi lemak. Siapa yang kata pekerja ini semua ada pekerjaan tetap?

“Kita tidak mahu tengok pekerja yang dihentikan dulu di MAS, terus jadi beban dan susah tanpa pekerjaan. Isu pembuangan pekerja MAS telah menyebabkan ramai mengalami kesusahan,” katanya.

Malaysia Airlines mencari pekerja baharu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.