Jangan sampai kes Adelina berlarutan, NGO Indonesia beri amaran

Jangan sampai kes Adelina berlarutan, NGO Indonesia beri amaran

Migrant Care mahu siasatan dijalankan secara rapi, sambil bimbang kes itu berlarutan selepas pesalah dibebaskan dengan jaminan.

Wahyu-Susilo-Adelina-Lisao-pembantu-amah-mati
PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Indonesia yang memperjuangkan hak pekerja asing mengecam penganiayaan ke atas pembantu rumah Adelina Jerima Sau yang meninggal dunia di Pulau Pinang Ahad lalu, dengan menganggap ia pelanggaran hak kemanusiaan yang serius.

Pengarah Eksekutif Migrant Care, Wahyu Susilo menggesa Jakarta menuntut pesalah laku dijatuhkan hukuman setimpal dan mengumpul bukti untuk mendedahkan bagaimana pekerja berusia 21 tahun itu menjadi mangsa.

Katanya, adalah mengejutkan yang Adelina dipaksa tidur bersebelahan anjing peliharaan di rumah majikannya, seperti dilaporkan secara meluas.

“Ini satu pelanggaran had perlakuan kemanusiaan,” katanya semasa ditemubual MetroTV.

Menurutnya, kes itu harus diketengahkan pada mesyuarat perwakilan luar Indonesia yang bermula di Kementerian Luar di Jakarta semalam, yang dirasmikan Presiden Joko Widodo.

Wahyu berkata kerajaan Indonesia harus menjalankan siasatan bagi mendedahkan penganiayaan yang didakwa dilakukan ke atas Adelina dan memastikan polis Malaysia menjalankan siasatan sewajarnya dan tindakan mahkamah diambil.

Wahyu juga menggesa kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur memastikan siasatan itu dijalankan secara teliti.

“Apa yang biasa berlaku di Malaysia, pihak berkuasa menahan suspek yang kemudiannya dilepaskan atas jaminan selepas 1 atau 2 minggu, dan akhirnya menjadikan proses pendakwaan lama berlarutan,” katanya.

Wahyu berkata, Adelina yang berasal dari daerah Nusa Tenggara Timur, disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia. Menurutnya, masalah itu kritikal di daerah tersebut.

Semalam, media Indonesia melaporkan Pengarah Perlindungan Warga Indonesia di Kementerian Luar, Lalu Muhammad Iqbal berkata walaupun Adelina memasuki Malaysia secara tidak rasmi pada kali pertama, dia mungkin memilih jalan lain pada kali kedua sebelum meninggal dunia.

Neni Kurniati, konsul Indonesia di Pulau Pinang, berkata Adelina bekerja dengan majikan tersebut di Bukit Mertajam sejak Disember 2014, berdasarkan data pasportnya.

Menurutnya, Adelina memiliki pasport sah dan konsulat sedang memeriksa jika beliau mempunyai permit sah untuk bekerja di Malaysia.

“Pemeriksaan patut dilakukan bagi menentukan pihak-pihak terlibat dalam penempatan Adelina (pekerjaan) kerana dia disyaki memasuki Malaysia secara tidak rasmi,” kata Wahyu.

Tambahnya, kerajaan Indonesia tidak harus mendiskriminasi dalam menegakkan keadilan berdasarkan sama ada warganya di luar negara berdokumen atau tidak kerana ini adalah hal hak asasi manusia.

Polis Pulau Pinang sedang menyiasat kes itu sebagai kes bunuh dan sudah menahan 2 beradik, masing-masing berusia 36 dan 39 tahun, berserta ibu mereka berusia 60 tahun.

Adelina yang meninggal dunia di Hospital Bukit Mertajam pada Ahad, sebelum ini bekerja di rumah jenis berkembar di kawasan perumahan Taman Kota Permai.

Beliau dikesan seorang jiran prihatin dengan luka pada tangan dan kaki. Menurut pakar patologi forensik, sebab kematian Adelina dikenal pasti sebagai “kegagalan multiorgan anemia” dan perkara itu mungkin diabaikan.

Konsulat Indonesia: Amah tak mengadu didera sebelum maut

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/11/amah-tidur-dengan-anjing-rottweiler-selama-2-bulan-maut/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.