BWF siasat 2 pemain badminton negara atur perlawanan

BWF siasat 2 pemain badminton negara atur perlawanan

Sumber BAM berkata kedua-dua pemain profesional itu cuba menyogok beberapa pemain asing dengan memujuk mereka terlibat dalam mengatur perlawanan.

bwf
KUALA LUMPUR:
Dua pemain badminton profesional negara sedang disiasat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana disyaki terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Sumber Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang mengesahkan perkara itu hari ini, berkata kedua-dua pemain terbabit disiasat kerana dikatakan cuba menyogok beberapa pemain asing dengan memujuk mereka terlibat sama dalam mengatur perlawanan.

“BWF memaklumkan kepada BAM bahawa 2 pemain yang bukan berada di bawah naungan kami sedang disiasat kerana disyaki terlibat dengan skandal cuba mengatur perlawanan dan kita tidak mengetahui fakta kes kerana siasatan masih dijalankan BWF.

“Ketika ini, BAM tidak mengetahui fakta kes sebenar dan kami tidak mahu membuat sebarang andaian kerana BWF sedang menjalankan siasatan dalaman,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sumber itu berkata BAM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemain badminton kebangsaan sekiranya terlibat mengatur perlawanan dan mereka akan berdepan tindakan tegas termasuk digantung status pemain seumur hidup.

Hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki mengesahkan menerima laporan dan sedang memastikan kebenaran dakwaan, seorang pemain profesional kini dalam siasatan BWF, kerana dipercayai terlibat mengatur perlawanan.

SPRM: Pemain badminton disiasat BWF bukan di bawah BAM

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.