Konsulat Indonesia: Amah tak mengadu didera sebelum maut

Konsulat Indonesia: Amah tak mengadu didera sebelum maut

Adelina Lisio tidak pernah membuat aduan kepada pihak konsulat berhubung majikannya itu sejak 2014 dan beliau pernah bekerja dengan majikan lain sebelum itu.

adelina
BUKIT MERTAJAM: Pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa didera majikan di Taman Kota Permai 2, dan meninggal dunia semalam bekerja dengan keluarga itu sejak 2014 menerusi sebuah agensi pekerja asing di Pulau Pinang.

Wakil Konsulat Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati berkata Adelina Jerima Sau, 21, tidak pernah membuat aduan kepada pihak konsulat berhubung majikannya sepanjang bekerja di sana dan pembantu rumah berkenaan pernah bekerja dengan majikan lain.

“Kami memandang serius kejadian dera yang dialami mangsa dan berharap pembelaan sewajarnya ke atas Adelina. Pihak konsulat juga akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan pihak berkuasa di Malaysia bagi membantu kes itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ) hari ini.

Adelina yang mengalami kecederaan parah, termasuk luka dan lebam di badan, mati ketika dirawat di Hospital Bukit Mertajam pada 4.45 petang semalam dan mayatnya dihantar ke HSJ untuk bedah siasat.

Wanita itu ditemui kira-kira 8.00 malam Sabtu, selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada seorang lelaki yang juga pembantu kepada Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Lim dan ekoran itu, polis menahan seorang lelaki dan adik perempuannya, yang merupakan majikan mangsa, bagi membantu siasatan.

Neni Kurniati berkata, keluarga Adelina yang tinggal di Nusa Tenggara, Indonesia belum mengetahui kejadian yang menimpa wanita berkenaan kerana pihaknya gagal menghubungi mereka.

“Wakil kami telah pergi ke alamat pada pasport wanita itu, namun gagal menemui keluarganya dan usaha mengesan mereka masih dijalankan.

“Urusan membawa pulang jasad mendiang akan dibuat, selepas semua proses bedah siasat oleh hospital dan siasatan yang dijalankan polis selesai. Kami harap ia dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/02/11/amah-tidur-dengan-anjing-rottweiler-selama-2-bulan-maut/

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.