71 murid di Kedah keracunan makanan

71 murid di Kedah keracunan makanan

Seramai 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaan lanjut dijalankan hari ini mendapati 71 murid keseluruhannya mengalami gejala sama.

Dr-Norhizan-keracunan-makan
ALOR SETAR: Seramai 71 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Apong di Sungai Petani alami gejala keracunan makanan seperti muntah, cirit-birit dan sakit perut sejak semalam selepas disyaki memakan nasi lemak berlaukkan ayam pada program merentas desa sekolah itu Sabtu lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda menerima maklumat kejadian muntah, cirit-birit dan sakit perut dalam kalangan murid sekolah terbabit pada 10 pagi semalam melalui waris murid berkenaan.

Beliau berkata sehubungan itu, lawatan pihak pejabat kesihatan daerah itu ke sekolah berkenaan pada 10.30 pagi hari sama mendapati 66 murid tidak hadir ke sekolah dan pemeriksaan lanjut dijalankan hari ini mendapati 71 murid keseluruhannya mengalami gejala sama.

“Dua murid mendapatkan rawatan di hospital swasta dengan seorang dibenarkan keluar wad dan seorang lagi masih di wad dan stabil. Tiga murid mendapatkan rawatan di HSAH (Hospital Sultan Abdul Halim) dengan gejala sama dan dirawat sebagai pesakit luar manakala lain-lain pelajar selebihnya mendapatkan rawatan sendiri di rumah,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Dr Norhizan berkata siasatan awal mendapati jenis makanan disyaki penyebab keracunan makanan itu adalah nasi lemak berlauk ayam yang ditempah daripada katerer luar bagi program merentas desa, disertai kira-kira 480 murid Tahun 3 hingga Tahun 6 sekolah itu namun siasatan lanjut masih giat dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Sehubungan itu, beliau meminta ibu bapa atau waris membawa anak mereka mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran jika mempunyai gejala sedemikian serta mempunyai sejarah memakan makanan dijual semasa aktiviti merentas desa di sekolah sama pada tarikh kejadian.

”Pihak sekolah dinasihatkan menjual makanan melalui kantin sekolah kerana pengendali makanannya terlatih selain diminta memantau keadaan murid dan memaklumkan kepada pejabat kesihatan berhampiran sekiranya masih ada kes sedemikian,” katanya.

Dr Norhizan berkata orang ramai diingatkan sentiasa mengamalkan amalan cuci tangan sebelum dan selepas makan serta sentiasa menjaga kebersihan diri selain amalan lihat, hidu dan rasa ke atas makanan dibeli atau sebelum makan untuk memastikan makanan selamat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.