Tian Chua: Halau Kit Siang perbuatan samseng penyokong Umno, BN

Tian Chua: Halau Kit Siang perbuatan samseng penyokong Umno, BN

Naib presiden PKR itu berkata, Umno sepatutnya menggunakan hujah untuk menjawab kritikan pembangkang supaya rakyat boleh membuat penilaian, bukannya menggunakan cara kasar untuk menafikan lawannya.

Tian-Chua-lim-kit-siang
PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Tian Chua mendakwa insiden Lim Kit Siang dihalau sekumpulan penduduk di Johor Bahru, semalam ialah perbuatan samseng penyokong Umno dan Barisan Nasional yang merasakan kedudukan mereka tergugat dengan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

“Keganasan dan samseng ini merata, bagi saya ini menunjukkan pihak pemerintah takut. Mereka tidak boleh menggunakan hujah untuk membahas secara rasional, sebaliknya hanya menggunakan kekerasan atau cara samseng untuk menakutkan rakyat dan menghalang kebenaran.

“Saya kutuk sekeras-kerasnya sebarang kekerasan yang digunakan dalam proses politik ini,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, Umno sepatutnya berani menggunakan hujah untuk menjawab kritikan pembangkang supaya rakyat boleh membuat penilaian, bukannya menggunakan cara kasar bagi menafikan lawannya.

“Sepatutnya BN kena menerima perbahasan dan hujah dan melontarkan pendapat masing-masing untuk membolehkan rakyat membuat pilihan dengan baik.

“Kalau kedudukan BN tak tergugat, mereka tak akan guna cara macam ini,” katanya mengulas tindakan lebih 50 penduduk Kampung Bakar Batu di Johor Bahru menghalau Lim dan wakil pemimpin PH.

Program Sembang Santai Warung terpaksa dibatalkan selepas berlaku kekecohan dan pemilik warung itu dikatakan tidak dapat meminjam premisnya kepada penganjur disebabkan “tekanan”.

Keadaan dilaporkan bertukar tegang apabila seorang ustaz tampil bersama penduduk kampung untuk menghalang Lim dan Osman bersama wakil pemimpin PH lain yang disusuli tindakan beberapa individu melaungkan “Saya penduduk kampung di sini, jangan kritik Umno”.

Setiausaha PH dan PPBM Johor, Datuk Osman Sapian ketika dihubungi FMT hari ini tidak menolak kemungkinan kumpulan penduduk kampung itu diugut dan dibayar berbuat demikian demi kepentingan politik setempat.

“Saya tidak menolak ada pimpinan kawasan itu yang tidak suka kita ke tempat itu. Lebih mengejutkan ketua kampung itu juga turun bersama kumpulan itu membuat kacau dan melakukan provokasi.

“Saya orang Johor Bahru, saya dibesarkan di sini. Saya tahu budaya orang Johor, kalau tidak ada orang di belakang, mereka tidak akan buat. Budaya orang Johor bagus, ada budi bahasa, kemungkinan ada tekanan politik untuk menjaga kedudukan ketua kampung di situ,” dakwanya.

Sementara itu, Adun Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang menganjurkan Program Sembang Santai Warung itu menggesa Umno dan penyokongnya berhenti mengganggu PH ketika mereka mengadakan aktiviti bersama rakyat.

Katanya, Umno dan penyokongnya perlu mengamalkan politik matang dan berhenti menakut-nakutkan rakyat yang mahu menemui pemimpin mereka.

“Tidak kira BN atau Pakatan Harapan, kami berhak mengadakan program kami dan berhubung dengan rakyat. Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu pilih pada pilihan raya umum ke-14.

“Apa yang dilakukan Umno malam tadi ialah memberi tekanan politik kepada pemilik warung untuk menghentikan program kami dan membawa penyokongnya untuk membuat kecoh di majlis kami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, insiden semalam menunjukkan Umno kelihatan takut kepada PH dan tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti itu.

“Boleh dikatakan Umno dan BN sekarang sudah takut. Mereka tidak yakin dengan diri sendiri.

“Jadi, mereka mengikhtiarkan pelbagai cara untuk menegah kami daripada berjumpa dengan rakyat dalam Program Sembang Santai Warung di Kg Bakar Batu,” katanya yang menggesa Shahrir memohon maaf atas insiden itu.

Pemimpin PH dakwa penduduk kampung diugut, dibayar untuk halau mereka

Kit Siang, wakil PH dihalau lebih 50 penduduk kampung di JB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.