
Tetapi, setiausaha agung BN itu berkata, keadaan bertambah baik susulan perubahan dilakukan kerajaan pusat.
“Saya boleh memberitahu anda, kami bukan kerajaan yang sempurna, manusia sempurna. Sama dengan parti, kerajaan, tetapi kepimpinan Najib bersedia untuk berubah, bergerak maju, ini yang penting untuk Wilayah dan rakyat,” katanya ketika berucap di depan kira-kira 10,000 penduduk sempena Kenduri 1Wilayah Persekutuan Parlimen Wangsa Maju di PPR Danau Kota, malam tadi.
Ahli Parlimen Putrajaya itu berkata, keselesaan yang dinikmati rakyat, khususnya di Wilayah Persekutuan hari ini ialah hasil usaha kerajaan BN, bukannya atas bantuan pembangkang.
Beliau berkata, kerajaan BN tidak memilih kasih dalam membantu rakyat, termasuk di kawasan pembangkang.
“Siapa yang anda sokong itu hak individu, tapi suka saya ingatkan kepada semua, apa juga dinikmati rakyat hari ini semua hasil berterusan kerajaan BN yang sentiasa mendahulukan rakyat dalam segala-galanya.
“Saya seru rakyat meneruskan sokongan kepada kerajaan yang ada hari ini. Jika anda memberi kami pemerintahan yang kuat, kami akan memberikan lebih banyak bantuan lebih baik kepada anda.”
Beliau turut mendakwa Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong gagal membantu rakyat selepas memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
“Walaupun kawasan ini pembangkang menang, wakil rakyatnya langsung tidak nampak muka, tidak tolong rakyat, yang tolong ketua bahagian kita, ketua bahagian minta apa sahaja dapat, nak itu ini dapat sebab kita kasih kepada rakyat.
“Saya tidak tahu apa lagi yang kita boleh lakukan, apa sahaja yang anda perlukan kita beri, kami bersedia untuk membantu memberi keselesaan kepada rakyat.”
Tan memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada PRU13 dengan majoriti 5,511 undi, selepas menewaskan calon Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah yang memperoleh 26,130 undi.
Shafie meminta rakyat tidak menyokong parti pembangkang itu pada PRU14 bagi mengelakkan pembangunan negara terjejas.
Pengerusi BN Bahagian Wangsa Maju itu turut berjanji akan menyelesaikan masalah kekurangan tempat letak kenderaan di kawasan berkenaan.
“Saya harap rakyat Wangsa Maju sedarlah, insaflah. Pertama, beruntung kita berada di bawah BN. kita bukan nak suruh rakyat buat lif, cat bangunan, buat parking, itu kerja kita. Kita nak minta tolong bukan payah, bukan guna duit, tapi guna jari emas kita ini undi BN, itu sahaja.”
Sementara itu, beberapa penduduk ketika ditemui mengakui Tan tidak pernah turun padang mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, sebaliknya kerajaan BN yang banyak membantu.
“Selama 15 saya tinggal di kawasan ini, saya tidak pernah nampak wakil rakyat PKR yang menang turun padang. Yang kami nampak semasa pilihan raya sahaja, pembangunan yang mereka buat juga tidak nampak, itu bagi saya lah, kalau orang lain saya tidak tahu,” kata Ramlah.
Mohd Ghani turut mengakui BN akan menghulurkan bantuan kepada rakyat, walaupun tidak banyak dan tidak terhad kepada musim pilihan raya.
“Memang ketika musim pilihan raya, banyak bantuan ditambah baik. Walaupun ia datang semasa nak pilihan raya, itu kami dah bersyukur sebab pembangkang tidak ada langsung. BN walaupun bukan musim pilihan raya, dia ada bantu juga, tapi tak banyak.
“Bila kerajaan BN turun padang beri bantuan sedikit sebanyak macam ini kepada kami, soal beban itu kami lupakan, kalau nak banding dengan pembangkang, tidak ada.”
Seorang lagi penduduk bernama Mei Guan berkata: “Dulu kawasan ini sekolah jauh, lif selalu rosak, jalan tidak elok, tapi sekarang ini banyak yang sudah berubah.”