
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata operasi itu dijalankan susulan kejadian bunuh di Stesen Minyak Shell Taman Pelangi pada 17 Disember 2017.
“Kes pembunuhan tersebut telah selesai dan ketika siasatan dijalankan kita membongkar rangkaian kumpulan ini. Semua suspek yang ditahan merupakan lelaki warga tempatan berumur antara 20 dan 69 tahun.
“Hasil siasatan awal mendapati kumpulan ini sudah aktif 20 tahun dan menjalankan kegiatan dadah, kekerasan dan penyeludupan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor hari ini.
Beliau berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman juga membeku dan menyita harta milik anggota kumpulan bernilai RM6.5 juta, meliputi 7 kenderaan mewah, 4 hartanah, 73 akaun bank pelbagai institusi kewangan, 6 utas jam tangan berjenama dan wang tunai pelbagai mata wang.
Khalil berkata, kumpulan itu juga didapati “berkait rapat” dengan kes pembunuhan kejam itu dan hingga kini, pihaknya mengenal pasti lebih 100 anggota kumpulan itu yang masih diburu.
“Kita telah menahan 35 anggota senior dan rekrut baharu kumpulan ini. Saki-baki daripadanya yang masih diburu dipercayai melarikan diri ke negeri lain dan luar negara.
“Hasil siasatan juga mendapati mereka bergiat aktif dalam merekrut anggota baharu bagi memperluaskan pengaruh dan kuasa dengan tujuan mendapatkan faedah material kumpulan,” jelasnya.
Semua suspek ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan akan dihadapkan ke Mahkamah Johor Bahru pada 11 Februari dan dituduh mengikut Seksyen 130 V Kanun Keseksaan dan Seksyen 130 W Kanun Keseksaan, atas kesalahan menjadi anggota dan membantu kumpulan jenayah terancang.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktivit Haram (AMLATFPUAA) 2001.