
Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) juga berkata jualan hartanah akan meningkat kerana pasaran sedang pulih dengan lebih ramai pembeli sebenar membeli hartanah, pengukuhan ringgit dan juga keadaan ekonomi secara keseluruhannya.
Presiden MIEA, Eric Lim berkata ahlinya meramalkan pertumbuhan sederhana selepas permintaan lemah dalam hartanah yang berlaku sejak 2 hingga 3 tahun lepas.
“Kami berpendapat pasaran sedang pulih.
“Pasaran sedang menyingkirkan spekulator kerana kita dapat lihat semakin ramai pembeli sebenar tampil membeli rumah,” katanya kepada FMT.
Sebelum itu, Eric menyertai ahli MIEA lain membentangkan dapatan laporan sentimen pasaran hartanah bagi 2017 dan 2018.
Laporan itu mengetengahkan 16 projek yang mampu memberi impak tinggi pada pembangunan hartanah.
Antaranya projek HSR dari Kuala Lumpur ke Singapura, MRT 2 dan 3, LRT 3, menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas Digital Cyberjaya dan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Juga diketengahkan projek pembesaran Lapangan Terbang Kota Bharu, Zon Perdagangan Bebas Pulau Pangkor dan Jalan Bentong-Raub yang berkemungkinan meningkatkan pasaran hartanah.
Pakar hartanah sebelum ini berkata sejak 2009, ramai spekulator membeli hartanah yang meningkatkan permintaan palsu dan menyebabkan harga hartanah meningkat secara mendadak.
Pada November 2017, Bank Negara berkata lebihan hartanah berada pada tahap tertinggi dalam dekad ini.
Menurut Bank Negara, hartanah kediaman yang diletakkan pada harga RM250,000 ke atas adalah sebab utama berlakunya lebihan bekalan kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu memilikinya.
Bagaimanapun, Lim berkata MIEA sudah menjalankan tinjauan selepas ramalan oleh beberapa “pakar” mengatakan harga akan turun mendadak tahun ini.
Lim berkata ekonomi Malaysia kekal kukuh dan dengan kadar pengangguran yang rendah iaitu pada 3.4% dan demografik muda, permintaan rumah akan meningkat.
“Melainkan lebih ramai menganggur, permintaan akan menjadi lebih rendah. Tetapi itu bukan apa yang berlaku sekarang.”
Bagaimanapun, Lim menggesa pembeli untuk menyelidik pasaran terutamanya lokasi projek pembangunan.
Laporan 14 muka surat itu juga mengatakan jualan perumahan mampu milik dijangka kekal baik, diikuti oleh sektor hospitaliti di kawasan pelancong dan harta tanah harga sederhana.
Pasaran bagi kedai pejabat, pejabat binaan khas dan kompleks runcit pula dijangka kekal rendah, katanya.