Rafizi mohon bantah kes tohmahan terhadap Tabung Haji

Rafizi mohon bantah kes tohmahan terhadap Tabung Haji

Bantahan itu dikemukakan atas alasan perbicaraan yang masuk hari kedua hari ini tidak sah kerana pemeriksaan terhadap pengaduan oleh pengadu tidak dijalankan.

rafizi_ramli
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli mengemukakan bantahan awal di Mahkamah Majistret hari ini untuk menghentikan perbicaraan kesnya atas dakwaan menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji di akaun Facebook miliknya.

Peguam Gobind Singh Deo mewakili Mohd Rafizi memaklumkan Majistret Umzarul An-Nur Umar, bantahan itu dikemukakan atas alasan perbicaraan yang masuk hari kedua hari ini tidak sah kerana Umzarul An-Nur tidak menjalankan pemeriksaan terhadap pengaduan oleh pengadu.

Pengadu ialah Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji Datuk Rozaida Omar yang sepatutnya memberi keterangan pada perbicaraan hari ini.

“Fakta ingin kami pertikaikan ialah pertuduhan terhadap Mohd Rafizi dikemukakan bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, hanya boleh dimulakan jika majistret mengambil tahu berlakunya kesalahan ini dan hanya boleh dibuat jika terdapatnya pengaduan oleh pengadu.

“Dalam kes ini terdapat pengaduan oleh pengadu tetapi apabila majistret menerima pengaduan itu, majistret perlu buat pemeriksaan terhadap pengaduan itu bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah. Di sinilah di mana pemeriksaan itu tidak dilakukan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas membantah permohonan itu dan menyifatkan pihak pembelaan cuba melengahkan perbicaraan tersebut.

Mohd Abazafree berhujah pemeriksaan tidak perlu dilakukan kerana pihak pendakwa raya mengarahkan siasatan dijalankan ke atas pengaduan oleh pengadu.

“Ia berdasarkan pindaan ke atas Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah dilakukan pada 1998 dan berdasarkan Seksyen 128 kanun sama, apabila majistret menerima sesuatu aduan tersebut maka beliau boleh mengambil tahu terhadap aduan tersebut dan bila majistret ambil tahu, perbicaraan boleh dimulakan tanpa perlu sebarang pemeriksaan dijalankan ke atas pengaduan oleh pengadu,” katanya.

Mahkamah tetapkan esok untuk keputusan bantahan tersebut.

Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” di Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Februari 2016, mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak, kira-kira 9.00 pagi, 8 Feb 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.