
Tetapi, Prof Hoo Kee Ping berkata, Putrajaya tidak mengambil peluang daripada kesediaan China untuk membeli minyak sawit tanpa had.
“Malangnya, tiada orang memberi respons kepada China,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, Duta China ke Malaysia, Bai Tian berkata, negaranya akan mengumport lebih banyak minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Malaysia.
“Kami tidak akan menetapkan sebarang had ke atas pengimportan minyak sawit Malaysia dan produk berkaitan,” katanya.
Malaysia sebelum ini mengkritik langkah EU untuk melarang penggunaan minyak sawit dalam biodiesel menjelang 2020 atas dakwaan ia dihasilkan melalui pemusnahan hutan.
China ialah pembeli minyak sawit Malaysia ke-2 terbesar selepas EU dan negara itu dijangka menjadi pengimport terbesar produk utama dalam masa 2 tahun.
Beijing turut mengatasi India untuk menjadi destinasi eskport ke-2 bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit dari Malaysia.
Dalam 11 bulan pertama 2017, jumlah eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China meningkat 9.8% kepada RM8.52 bilion berbanding RM7.76 bilion pada 2016.
Hoo berkata, Malaysia tidak patut mengehadkan pengeksportan minyak sawit sahaja, sebaliknya perlu meneroka pasaran China untuk minyak masak dengan harga berpatutan.
“Jika rakyat Amerika memilih untuk mengenakan sekatan perdagangan ke atas China, perang perdagangan mungkin berlaku. China sebagai pembeli kacang soya terbesar AS, dijangka memboikot pembelian kacang soya.”
Hoo berkata, Malaysia boleh membekalkan minyak masak dengan harga berpatutan kepada China kerana penggunaan “di-gou-you” atau sisa minyak kitar semula yang merupakan satu isu di negara itu.
“Di-gou-you” ialah sisa minyak yang digunakan di restoran dan dikitar semula untuk dijual kepada pengguna.
Minyak itu kadangkala dilunturkan atau dicampur dengan bahan kimia lain untuk kelihatan tulen, yang menjadikannya sukar untuk pihak berkuasa mengawal jualannya.
“Ini berlaku kerana harga minyak terlalu mahal di China dan rakyatnya tidak mampu membeli minyak masak.
“Malaysia perlu mencari jalan untuk membantu China dalam perkara ini dan mengisi tempat AS,” katanya.