Susu tiruan: 2 peniaga didakwa 21 Februari

Susu tiruan: 2 peniaga didakwa 21 Februari

Tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapat segala bukti terperinci termasuk laporan kimia mengenai kandungan susu terbabit.

Hamzah-Zainudin-susu-tiruan-mahkamah
NILAI: Dua peniaga akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru 21 Februari ini atas dakwaan menjual produk susu dipercayai tiruan Disember lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapat segala bukti terperinci termasuk laporan kimia mengenai kandungan susu terbabit.

“Kes ini bulan Disember lepas heboh diperkatakan. Ini membuktikan kita buat (rampas dan dakwa) secara terperinci. Kita mengambil masa sedikit kerana kita memerlukan kerjasama pelbagai pihak.

“Bila sudah peroleh segala maklumat disahkan itu baru kita boleh dakwa,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) hari ini.

Pada Disember lepas KPDNKK Johor Bahru merampas 210 kotak susu rumusan bayi bernilai RM42,000, disyaki tiruan di 5 lokasi berasingan di Johor.

Sementara itu, diminta mengulas sama ada KPDNKK akan merampas kopi campuran yang menyebabkan beberapa individu terpaksa dibawa ke hospital selepas meminumnya, Hamzah berkata pihaknya setakat ini belum lagi menerima sebarang laporan terperinci mengenai kandungan kopi itu.

“Kita kena pastikan perkara itu secara sah, kena ada hitam putih. Kita tidak mahu ada andaian… bila sudah cukup bukti kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Pada 30 Januari lepas, 5 individu termasuk 2 wanita, mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami gejala letih dan lemah teruk dipercayai selepas meminum sejenis kopi, dengan 2 orang daripada mereka dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.

Pada 4 Februari pula, 2 lelaki dimasukkan ke HPP selepas mengalami pening dan muntah dipercayai selepas meminum sejenis kopi campuran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.