
Badan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan ahli politik pembangkang yang membantah projek Pembangunan Eko Tanjung Aru (TAED) seluas 348 hektar itu berkata, orang ramai akan kehilangan akses ke pantai serta mereka bimbang berlaku kemusnahan alam sekitar.
Projek TAED bertujuan menukar bandar pesisir pantai itu menjadi destinasi pelancongan hijau antarabangsa serta sebuah pusat komersial, kediaman dan rekreasi.
Satu petisyen dalam talian dilancarkan untuk mengumpul tandatangan menentang pembangunan itu, sementara sekumpulan individu membawa kes itu ke mahkamah dalam cubaan membatalkan projek berkenaan. Kes itu bagaimanapun ditolak mahkamah.
Akibatnya, Yong yang juga naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) kini terpaksa mengimbangi tanggungjawab menjaga kepentingan rakyat dan melaksanakan dasar kerajaan.
Tanjung Aru ialah satu daripada 2 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen Putatan. Satu lagi kerusi DUN ialah Petagas.
“Kami terima aduan dari semua tempat kerana tiada orang yang boleh puas hati 100%.
“Rakyat tidak nampak gambaran besar. Sama seperti projek Sutera Harbour Resort sebelum ini.
“Apabila tebus guna tanah bermula, ramai orang membantah. Mereka hanya okey apabila melihat produk akhir resort yang siap,” katanya kepada FMT.

Beliau percaya majoriti rakyat menyambut baik TAED dan terima hakikat pengorbanan tertentu perlu dilakukan demi kemajuan.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan tidak akan mengabaikan kebajikan pihak berkepentingan yang terjejas.
“Apabila anda mengambil sesuatu, kreajaan akan membawa sesuatu yang lebih baik untuk rakyat. Rakyat perlu faham, kerajaan hari ini cuba melakukan terbaik untuk membangunkan kawasan itu menjadi lebih kondusif untuk generasi akan datang.
“Tetapi, kerajaan tidak akan mengambil kesempatan daripada rakyat. Jika kerajaan mahu mengambil tanah anda, mereka perlu berunding dan bayar pampasan.”
Skim pembaharuan bandar
Sebagai wakil rakyat selama 3 penggal di kawasan itu, Yong mahu melihat semua rancangan pembangunan Tanjung Aru dilaksanakan.
“Masa saya sebagai wakil rakyat hampir berakhir kerana pilihan raya hampir tiba. Mudah-mudahan, jika kita dipilih semula dan kerajaan BN menang, saya berharap kawasan itu boleh dibangunkan,” katanya sambil menambah banyak lagi yang perlu dilakukan.
“Sebenarnya, 5 tahun tidak cukup kerana banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan projek seperti TAED dan juga skim pembaharuan bandar Sembulan,” katanya merujuk pembangunan semula Kg Sembulan yang dianggap kawasan miskin di tengah bandar.

“Saya tidak bimbang. Saya biarkan pimpinan tertinggi tentukan. Jika mereka masih mahu saya untuk bertanding, sudah tentu saya akan teruskan.”
Berdasarkan daftar pemilih terkini, Tanjung Aru mempunyai kira-kira 65% atau 15,260 pengundi Bumiputera Islam daripada semua 23,664 pengundi di DUN itu, manakala Cina terdiri daripada 26.69% atau 6,315 orang, Bumiputera bukan Islam 8.49% (2,009) dan kaum minoriti 0.3% (80).
Yong tidak memandang rendah kemampuan pembangkang Sabah kerana setiap parti mempunyai kekuatan sendiri.
“Kami anggap ia 50-50. Kami perlu melihat calon dan sokongan parti itu. Pada pilihan raya lalu, kami (BN) hilang 12 kerusi.”
Katanya, BN bekerja keras untuk mempertahankan kerusi mereka dan dalam kesnya di kerusi DUN Tanjung Aru, rakyat ialah penentu sebenar.
“Kami akan cuba sedaya upaya. Setiap kerusi berdepan saingan, tetapi kami tidak tahu keputusannya sehingga peti undi dibuka dan semua undi dikira.”
Pada 2013, Yong memenangi kerusi DUN Tanjung Aru dalam pertandingan 4 penjuru dengan majoriti 3,690 undi, menewaskan pencabar terdekat, Hamid Ismail daripada PAS yang mendapat 5,409 undi.
Calon lain ialah Salleh Tiaseh daripada Parti Reformasi Sabah (STAR) yang memperoleh 750 undi dan Yong We Kong daripada Parti Maju Sabah (SAPP) dengan 1,333 undi.