
Asmuni berkata sepatutnya tiada halangan dari segi undang-undang untuk Indira bertemu Prasana Diksa, yang dilarikan 9 tahun lalu dan ditukar agama dari Hindu kepada Islam tanpa pengetahuannya.
“Masalah soal anak itu Islam atau bukan Islam itu masalah kedua,” katanya kepada FMT.
“Hak sebagai ibu bapa, kalau sekiranya anak itu diberi hak kepada ibu, bapa juga berhak untuk bertemu, melihat dan melawat anak itu, begitu juga sebaliknya. Ini sebenarnya peruntukan hukuman yang diguna pakai oleh mahkamah sivil atau mahkamah syariah.”
Asmuni sebelum ini mewakili Riduan pada 2014 yang didakwa menghina mahkamah kerana tidak menyerahkan Prasana, atau nama Islamnya, Ummu Habibah, kepada Indira.
Beliau diminta mengulas rayuan terbaharu Indira, yang berkata beliau tidak peduli walaupun apa pun agama Prasana, asalkan boleh bertemu, menyentuhnya dan dipastikan selamat.
“Jarang kita jumpa kes bila anak diserahkan kepada satu pihak dan satu pihak lagi tidak diberi kebenaran melawat langsung, kecuali dalam kes tertentu sebagai contoh ibu atau bapa mempunyai perangai tidak elok,” kata Asmuni.
“Amat wajar ibu atau bapa kandung dibenarkan melihat dan melawat anak dan itu juga keadilan yang diutamakan semua agama.”
Pada 29 Januari lalu, selepas 9 tahun bertikaian, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa mahkamah sivil mempunyai hak untuk mendengar kes penukaran agama sebelah pihak, bahawa penukaran agama anak perlu dipersetujui oleh ibu dan bapa, dan sijil penukaran agama Tevi Darshiny, Karan Dinesh dan Prasana Diksa tidak sah dan terbatal.
Dengan keputusan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata polis akan melaksanakan perintah mahkamah dan menjejaki Riduan kerana mengingkari perintah menyerahkan hak penjagaan anak kepada Indira.
Henti sebar spekulasi status agama anak
Ketika dihubungi FMT hari ini, Indira menggesa semua pihak berhenti mempersoalkan status agama anaknya kerana keutamaan beliau untuk bertemu Prasana.
“Ini bukan soal agama, walaupun mahkamah telah buat keputusan, yang penting bagi saya adalah berjumpa anak saya selepas 9 tahun tidak bertemu,” katanya.
“Sebagai seorang ibu saya lebih mementingkan keselamatan, perasaan dan bagaimana keadaan anak saya sekarang, bukan soal agama.”
“Walaupun mahkamah telah membuat keputusan, saya terima dan terbuka dengan keputusan Prasana kalau dia mahu kekal dalam agama Islam, saya sebagai ibu kandung saya hanya nak tahu keadaan dia sekarang ini sebab selama 9 tahun saya tidak pernah jumpa dia, saya nak peluk dia itu sahaja.”
Indira juga berkata pihaknya masih belum dimaklumkan tentang perkembangan usaha polis menjejaki Riduan.
“Polis belum hubungi saya lagi, sampai hari ini tiada perkembangan, masih macam itu juga sejak 9 tahun lalu, dari dulu sampai sekarang sama juga, polis tidak pernah hubungi saya,” katanya.
Beliau juga berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang ugutan selepas keputusan mahkamah baru-baru ini.
Kes Indira: Peguam Islam desak pinda akta Mahkamah Syariah, sivil sama taraf