Jakim perlu ajar hakim sivil mengenai Islam, kata Perkasa

Jakim perlu ajar hakim sivil mengenai Islam, kata Perkasa

Perkasa berkata keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan pengislaman 3 anak pada 2009 tidak sejajar dengan perlembagaan.

hassan-indira-perkasa
PETALING JAYA: Kumpulan hak Melayu Perkasa berkata keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang membatalkan penukaran agama 3 anak M Indira Gandhi oleh bekas suaminya akan melebarkan fahaman liberalisme.

Naib Presiden Perkasa Hassan Basri Muhammad turut mendakwa ramai hakim mahkamah sivil tidak mempunyai pengetahuan agama Islam secara mendalam.

“Justeru Perkasa mencadangkan supaya hakim/majestrit yang kebanyakannya tidak mendalami ilmu agama Islam perlu ditaklimat dan difahami terlebih dahulu oleh institusi agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dalam apa jua kes yang dibicarakan di mahkamah sivil khusus yang membabitkan kes antara agama seperti kes M. Indira Gandhi dan Riduan Abdullah bagi mengelakkan keputusan yang boleh mengancam kesucian agama dan perpaduan negara,” katanya.

Semalam, Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan penukaran agama anak di bawah umur kepada Islam perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Ia dikritik beberapa peguam syariah, dan turut dibantah sekurang-kurangnya 2 mufti – Pahang dan Perak – yang berkata keputusan itu membelakangi status Islam sebagai agama persekutuan.

Dalam penghakiman bersejarah yang mengakhiri kes rebutan anak antara Indira dan Riduan itu, mahkamah turut memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes penukaran agama anak oleh sebelah pihak.

Riduan pada 2009 menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan Indira.

Anak sulung mereka, Tevi Darsiny kini berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish pula berusia 20 tahun, sementara yang bongsu, Prasana, 10, masih hilang selepas dilarikan ayahnya.

Indira sebelum ini mendapat perintah mengarahkan polis mengesan Prasana dan mengembalikan anak itu kepada ibunya.

Susulan keputusan semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berjanji pihaknya akan berusaha mengesan Riduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.