PKR yakin PH boleh selesai isu agihan kerusi

PKR yakin PH boleh selesai isu agihan kerusi

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, reaksi akar umbi terhadap keputusan pembahagian kerusi itu bukan perkara serius.

Saifuddin-Nasution
PETALING JAYA: PKR yakin 4 parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) mampu menyelesaikan isu pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan.

Setiausaha agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, reaksi akar umbi terhadap keputusan pembahagian kerusi itu bukan perkara serius.

“Saya tak anggap itu satu hal serius, seolah-olah perkara yang kita tak boleh bereskan,” katanya pada sidang media bersama pimpinan parti di ibu pejabat PKR hari ini.

Semalam, kekecohan dilaporkan berlaku pada Konvensyen PH Negeri Sembilan disebabkan akar umbi PPBM tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN negeri itu.

Lebih 50 ahli PPBM dilapor melaungkan “ini tidak adil” di belakang dewan, sejurus Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selesai berucap.

Saifuddin berkata, rundingan pembahagian kerusi di peringkat Negeri Sembilan dimuktamadkan Sabtu lalu, sehari sebelum konvensyen itu berlangsung.

Menerusi rundingan itu, PKR diperuntukkan 12 kerusi DUN, DAP (11), Amanah (7) dan PPBM (6).

“Itu adalah formula yang dimuktamadkan untuk agihan kerusi negeri di Negeri Sembilan oleh perunding peringkat pusat.

“Oleh kerana rundingan di peringkat negeri telah berjalan lama, ada beberapa pertindihan dan semua parti bersetuju proses memuktamadkan itu dilakukan pimpinan pusat.

“Negeri boleh muktamadkan dengan cantik, peranan peringkat pusat hanya mengesahkannya,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan pusat akan membantu negeri yang menghadapi masalah pembahagian kerusi.

Katanya, rundingan kerusi DUN di Selangor diserahkan kepada kepimpinan negeri.

“Seperti yang berlaku di Selangor, Pahang, Terengganu atau di Kelantan, proses itu adalah proses biasa yang pimpinan pusat akan benarkan untuk proses rundingan itu berjalan dan sekarang adalah di peringkat negeri.

“Saya percaya Selangor juga melalui proses sama. Buat masa ini, ia masih lagi berlangsung perundingan di peringkat negeri, belum lagi memerlukan penglibatan pimpinan pusat.

“Jadi, saya yakin, optimis Selangor juga boleh selesaikan (pembahagian kerusi).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.