Logo Visit Malaysia 2020: Saya tak peduli, kata Nazri

Logo Visit Malaysia 2020: Saya tak peduli, kata Nazri

Nazri turut menafikan kementeriannya membelanjakan beratus ribu ringgit untuk mereka logo itu, sebaliknya berkata ia dibuat stafnya sendiri.

nazri-vistimalaysia2020
PETALING JAYA:
Selepas dikritik oleh pengguna media sosial berkenaan logo mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2020, Datuk Seri Nazri Aziz berkata ia akan terus digunakan.

“Kritikan ini biasa. Saya lancarkan di Chiang Mai dan di Chiang Mai semua puji, sememangnya logo ini untuk pelancong asing. Ini bukan untuk dalam negeri, saya tidak kisah dan peduli,” kata menteri pelancongan dan kebudayaan itu kepada FMT.

Menurut Nazri, ia sudah mendapat sambutan di Thailand, di mana logo promosi pelancongan Malaysia itu pertama kali dilancarkan.

“Di Chiang Mai, kita dapat sambutan sebab mereka tidak pernah tengok (logo). Lainlah orang Malaysia, sudah biasa tengok. Saya tidak ada niat hendak tukar.”

Logo yang memaparkan binatang seperti orang utan dan penyu itu dikritik pengguna media sosial, dan ada yang mempersoalkan kualiti rekaan grafiknya, sambil berkata ia memalukan Malaysia.

Bahkan, menuduh logo berkenaan direka menggunakan aplikasi seperti Microsoft Paint sekaligus memalukan nama pereka grafik Malaysia.

Nazri kata beliau tetap dengan keputusan mengekalkan logo tersebut.

“Ini yang akan digunakan untuk dunia, hanya satu logo, tidak ada logo lain,” katanya.

Nazri turut menafikan kritikan sesetengah pihak yang kementeriannya menggunakan khidmat pereka luar sehingga menelan ratusan ribu ringgit.

“Kita tidak gunakan syarikat pegawai perhubungan awam luar, kita tidak belanjakan apa-apa. Semua kita gunakan dalam, iaitu kakitangan kita sendiri.

“Saya percayakan kakitangan saya berbanding bayar ratusan ribu untuk membayar orang luar. Ia percuma kerana pereka grafik itu kakitangan kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.