
“Saya harap rakyat Sabah tidak akan terpedaya kerana dari awal lagi, parti diketuai Shafie menjadi proksi Mahathir di Sabah,” kata Timbalan Ketua Penerangan Umno Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.
Ramlee berkata, Shafie “mencipta satu strategi” di mana Pakatan Harapan akan tampil dengan satu formula untuk bekerjasama.
Beliau merujuk formula 60:40, di mana Warisan akan bertanding di 60% kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH akan bertanding di 60% kerusi Parlimen.
Ramlee berkata, Shafie cuba “menipu” rakyat Sabah dengan berpura-pura sebuah kerajaan negeri pimpinan Warisan adalah bebas dan tidak berhutang budi kepada mana-mana parti, serta menunjukkan parti berpangkalan di Sabah itu akan berkuasa di negeri itu.
Ramlee membezakan apa yang digelarnya “drama 60%” dengan kenyataan awal Shafie yang beliau tidak akan bekerjasama dengan parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
“Shafie kata beliau tidak akan bekerjasama dengan parti didaftarkan di Semenanjung kerana berbuat demikian sama seperti bersama parti komponen Barisan Nasional lain.
“Bagaimanapun, mungkin bekas naib presiden Umno itu dengar daripada pengundi bergerak secara solo tidak akan berguna,” kata Ramlee yang juga adun Bugaya.
Katanya, Shafie bersedia mengubah prinsip dan strateginya serta menggunakan rakyat untuk kepentingan peribadinya.
“Bagi pemimpin seperti Shafie, rakyat seperti bola yang perlu patuh ke mana sahaja mereka ditendang. Baginya, rakyat bukan pembuat keputusan tetapi sekadar batu loncatan untuk mencapai matlamat akhirnya.
“Dan kerana beliau menganggap rakyat sebagai alat untuk mencapai matlamatnya, apabila beliau dapat apa dikehendaki, rakyat akan diketepikan, malah dihina seperti beliau menghina anggota Rela, ibu bapa yang menghadapi kesulitan menyediakan peralatan sekolah kepada anak dan terkini, menghina Program Umno Bantu Rakyat 2.0.”
Shafie dibidas baru-baru ini selepas beliau mengkritik cadangan kerajaan menghantar anggota Rela menjaga Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) di pantai timur negeri itu.
Katanya, anggota Rela tidak mahir mengendalikan senjata api di Esszone dan mereka hanya sesuai ditugaskan untuk mengawal trafik di majlis kenduri.