
Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin dipetik Sin Chew Daily berkata, pihaknya yang baru menerima keputusan ujian itu sedang membincangkan tindakan lanjut, termasuk mendakwa pembekal serta penjual susu bayi tiruan ke mahkamah.
Katanya, laporan Mead Johnson sangat penting kerana ujian yang dijalankan syarikat itu mengesahkan susu tepung bayi yang dirampas KPDNKK adalah produk tiruan.
“Jika Jabatan Peguam Negara menerima laporan ujian ini, kami akan mendakwa pembekal dan peruncit ke mahkamah,” katanya kepada akhbar itu.
Beliau berkata, tidak sesuai untuk mendedahkan butiran lanjut ketika ini dan kenyataan media dijangka dikeluarkan hari ini atau esok.
Pada 7 Disember lalu, KPDNKK Johor merampas 210 kotak susu rumusan bayi yang disyaki tiruan dengan nilai anggaran RM42,000 dalam 5 serbuan di sekitar Johor.
Mead Johnson yang menerima aduan pengguna pada Mei 2017 mendakwa bayi muntah teruk selepas minum susu keluaran syarikat itu, bertindak menjalankan siasatan berdasarkan maklumat pengguna dan menyerahkan bukti kepada KPDNKK Johor.
Susulan itu, tersebar beberapa kes bayi menunjukkan simptom muntah, ruam merah dan najis berdarah kerana disyaki minum susu tepung tiruan di beberapa negeri, termasuk Melaka, Kuala Lumpur dan utara Semenanjung Malaysia.
Mead Johnson kemudiannya membenarkan pengguna terjejas memulang dan menukar susu tepung baharu.
Pada 29 Disember lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, hasil analisis Kementerian Kesihatan terhadap susu tepung bayi itu mendapati ia selamat digunakan.
Katanya, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan bekerjasama rapat dengan KPDNKK mengambil sampel produk yang dirampas kerana disyaki menggunakan cap dagangan tiruan untuk dianalisis.
“Hasil analisis mendapati produk tersebut adalah selamat. Bagaimanapun, produk itu tidak mencapai standard kualiti ditetapkan dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985 mengikut Akta Makanan 1983, iaitu dari segi kandungan lemak,” katanya dipetik Bernama bulan lalu.
KPDNKK, Mead Johnson tahu susu tepung tiruan wujud setahun lalu