Shahidan tidak mahu ulas kehilangan Amri Che Mat

Shahidan tidak mahu ulas kehilangan Amri Che Mat

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tidak mahu mengulas kerana tidak tahu pokok pangkal perkara itu.

Shahidan-amri
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan bahawa beliau tidak mengenali aktivis Amri Che Mat dan NGO, Perlis Hope.

Shahidan menambah beliau hanya ternampak Perlis Hope melalui media sosial.

“Bila saya baca Facebook, saya ada ternampak nama Perlis Hope, tetapi saya tidak tahu apa aktiviti mereka,” katanya kepada FMT petang tadi.

Terdahulu, beliau dihubungi FMT selepas isteri Amri, Norhayati Ariffin memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang beliau mengesyaki penglibatan Shahidan dalam kehilangan itu.

“Saya tidak tahu pokok pangkal perkara itu. Saya tidak mahu ulas apa-apa sehingga polis menghubungi saya,” kata Shahidan.

Norhayati tampil memberi keterangan kepada Suhakam hari ini yang melakukan siasatan awam ke atas kehilangan aktivis itu.

Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016 lepas.

Sebelum ini, Norhayati berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m daripada rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Sebelum ini, terdapat spekulasi beliau terlibat dalam penyebaran ajaran Syiah, aliran Islam yang difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Malaysia. Dakwaan itu ditolak Norhayati.

Selain Shahidan, Norhayati turut mengesyaki penglibatan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs). Beliau menamakan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin antara mereka yang tidak senang dengan aktiviti kebajikan yang dijalankan suaminya di bawah Perlis Hope.

Norhayati mendakwa Asri pernah menuduh Perlis Hope mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan. Menurutnya, 3 tahun lalu, Asri merupakan antara 20 pegawai Jabatan Mufti Perlis dan polis yang membuat serbuan di rumahnya mencari suaminya untuk disoal siasat.

Selain kehilangan Amri, siasatan Suhakam ini turut mahu menjawab misteri kehilangan Paderi Joshua Hilmy dan isterinya Ruth.

Seorang lagi yang hilang, Pastor Raymond Koh, tidak lagi menjadi subjek siasatan, selepas seorang suspek dihadapkan tuduhan menculiknya di mahkamah minggu lalu.

Ini kerana Seksyen 12 Akta Suhakam menyatakan siasatan awam perlu dihentikan jika ia menjadi kes mahkamah.

Asri dan Shahidan tidak senang dengan Perlis Hope, Suhakam diberitahu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.