Laporan TV3, Utusan berdasarkan kenyataan Mazlan, kata Anwar

Laporan TV3, Utusan berdasarkan kenyataan Mazlan, kata Anwar

Ia merujuk kenyataan bekas calon BN Permatang Pauh, Mazlan Ismail pada 2013 yang mendakwanya terlibat rasuah semasa prosiding berhubung saman fitnah di Mahkamah Tinggi .

anwar-ibrahim-mazlan-ismail-1
KUALA LUMPUR: Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi, laporan berita berhubung “6,000 Surat Misteri” yang disiarkan Sistem Televisyen Malaysia (TV3) dan diterbitkan di dalam akhbar Utusan Malaysia, telah diolah dengan tepat berdasarkan sidang media oleh Datuk Dr Mazlan Ismail.

Anwar, 67, yang menyambung keterangannya hari ini berkata 2 organisasi media berkenaan menghasilkan berita tersebut berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh (Mazlan) itu pada 2013 yang mendakwa beliau terlibat dengan rasuah.

“Biarpun penggunaan ayat dalam berita itu tidak dinyatakan secara langsung, namun olahan yang dibuat oleh pemberita adalah tepat,” katanya ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, mewakili Mazlan dalam perbicaraan kes saman difailkan Anwar terhadap Mazlan, TV3 dan Utusan Melayu (M) Bhd atas dakwaan mengaitkannya terlibat dengan rasuah membabitkan badan kehakiman dan Pejabat Peguam Negara.

Anwar berkata beliau mengetahui mengenai kandungan surat misteri itu selepas ia disiarkan menerusi Buletin Utama TV3 pada 2 Ogos 2013 dan diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Anwar, yang juga ketua umum Pakatan Harapan berkata rumusan yang dibuat oleh pemberita TV3 adalah berdasarkan kenyataan Mazlan.

“Maknanya pemberita TV3 mempunyai dokumen berkaitan untuk membolehkan mereka buat rumusan itu. Tetapi, Mazlan kata tak nak terbabit dalam perkara itu. Saya bukan nak ‘defend’ TV3, tetapi dia melaporkan berita mengikut kenyataan Mazlan,” katanya.

Bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu turut memaklumkan pihak polis menjalankan siasatan berhubung pendedahan surat misteri oleh Mazlan selepas beliau bersama mendiang Karpal Singh membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pada 4 Ogos 2013.

Pada 15 Oktober 2015, Anwar, selaku plaintif memfailkan saman selepas mendakwa Mazlan menyebabkan TV3 menyiarkan perkataan fitnah menerusi Buletin Utama pada 8 malam, 2 Ogos 2013 dan mendakwa Mazlan juga menyebabkan perkataan fitnah itu diterbitkan di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Ogos 2013.

Beliau mendakwa Mazlan mengadakan persidangan media yang mengandungi perkataan fitnah yang serius dan berniat jahat membawa maksud beliau seorang yang tidak beretika, terlibat dalam rasuah, melakukan aktiviti berunsur jenayah, tidak jujur dan tidak bermoral.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, dan teladan serta perintah injunksi yang menghalang defendan daripada mengulangi atau menyiarkan semula perkataan fitnah itu.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datin Faizah Jamaludin bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.