Mahkamah benar Muhyiddin batal saman fitnah

Mahkamah benar Muhyiddin batal saman fitnah

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamed membatalkan saman atas dasar Mohd Anas dengan jelas tidak mempunyai kuasa tindakan.

rosli-dahlan_Muhyiddin_law_600
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin membatalkan saman fitnah yang difailkan bekas ketua aktivis PPBM Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin.

Peguam Rosli Dahlan yang mewakili Muhyiddin, berkata Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed membatalkan saman atas dasar Mohd Anas dengan jelas tidak mempunyai kuasa tindakan.

“Tuntutan plaintif tidak memperlihatkan apa-apa perkataan atau tindakan fitnah,” kata Rosli kepada wartawan mengenai keputusan yang dibuat di dalam bilik hakim.

Rosli berkata hakim juga memerintahkan Mohd Anas membayar kos RM5,000 kepada anak guamnya.

Mohd Anas memfailkan saman tersebut pada 6 Jun tahun lalu selepas Muhyiddin enggan memohon maaf. Muhyiddin kemudian memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu.

Pada 13 Oktober, penasihat Muhyiddin, Muhammad Faizal Faiz Mohd Hasani, berkata saman Mohd Anas perlu dibatalkan kerana kenyataan tuntutan plaintif gagal menunjukkan sebab yang munasabah dan merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Anas berkata beliau mengadakan sidang media pada 5 April lalu bagi mengumumkan 500 ahli PPBM keluar parti disebabkan tidak berpuas hati terhadap Muhyiddin yang mengamalkan konsep kronisme dalam parti.

Plaintif mendakwa berikutan pengumuman itu, defendan mengeluarkan satu kenyataan ketika mengadakan sidang media di luar lobi Parlimen pada keesokannya (6 April) bagi menjawab soalan wartawan berhubung tindakan keluar parti.

Mohd Anas mendakwa kenyataan dikeluarkan defendan membawa maksud plaintif tidak jujur, tidak berkelayakan dan tidak berprinsip sehingga mencetuskan kebencian umum ahli dalam PPBM.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, faedah dan kos selain perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada menerbit atau menyiarkan semula kenyataan fitnah tersebut.

 

Kes Muhyiddin batal saman diketahui 19 Januari

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.