Kerajaan rugi RM8 bilion tahun lepas kerana perdagangan haram, kata Ideas

Kerajaan rugi RM8 bilion tahun lepas kerana perdagangan haram, kata Ideas

Badan pemikir berkata kerajaan mesti tangani perdagangan haram di negara ini bagi mengekang kerugian dalam hasil cukai dan jenayah.

ali_salman
KUALA LUMPUR: Kerajaan kerugian RM8 bilion hasil cukai tahun lalu kerana perdagangan haram, kata Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Barangan yang cenderung didagangkan secara haram termasuk tembakau, makanan, minuman, mesin dan kereta, kata Pengarah Penyelidikan Ali Salman, dan penulis bersama kertas dasar “Perdagangan Haram di Malaysia: Sebab dan Akibat”.

Badan pemikir itu mendapati perdagangan haram memberi impak pada ekonomi Malaysia kerana pendapatan kerajaan berkurangan.

Ideas mengadakan perbincangan meja bulat tentang kertas dasar itu hari ini. Pelbagai pihak berkepentingan terlibat termasuk wakil kerajaan, sektor swasta, penggubal undang-undang, peguam dan persatuan sivil.

Peserta perbincangan berkata tahap pendidikan perlu ditingkatkan bagi mengalakkan pengguna menggunakan jenama yang dibenarkan dan menolak barangan tiruan.

Mereka mengesyorkan pembentukan sebuah jawatankuasa perniagaan antarabangsa, untuk menghimpunkan semua sumber bagi menggesa kerajaan meningkatkan tekanan dan penguatkuasaan ke atas perdagangan haram.

Perbincangan itu juga menyarankan penubuhan kumpulan kerja pihak berkepentingan, yang terdiri daripada pelbagai kementerian dan sektor swasta, untuk menangani masalah perdagangan haram di negara ini.

Panel itu turut menyentuh bidang perdagangan haram yang berpotensi seperti cetak rompak digital, pengedaran dadah dan pembalakan haram. Bidang-bidang tersebut perlukan kajian dan tindakan lebih dekat, katanya.

Penyelaras penyelidikan Ideas dan penulis utama kertas dasar itu, Adli Amirullah berkata, kos sosial perdagangan haram boleh menyebabkan peningkatan kadar jenayah dan pengangguran.

“Cukai domestik lebih tinggi, penguatkuasaan sempadan yang longgar dan kesempitan bekalan boleh membawa kepada meningkatnya aliran perdagangan haram, lalu mengurangkan manfaat perdagangan terbuka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.