
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, ramai graduan kini terpaksa bekerja sebagai pemandu untuk syarikat perkongsian kenderaan seperti Uber atau menjual nasi lemak.
Calon perdana menteri PH itu berkata, keadaan itu memalukan dan tidak patut ditunjukkan kepada media sebagai kejayaan.
“Kita tidak boleh berbangga dengan mereka yang terlibat dalam menjual nasi lemak ataupun menjadi ‘driver’ Uber. Ini untuk menampung pendapatan mereka kerana mereka tidak mendapat punca pendapatan sama sekali.
“Sebaliknya, mereka ini yang terlatih dengan kecekapan yang begitu tinggi patut bekerja menggunakan kebolehan, ilmu dan kecekapan yang mereka perolehi,” katanya dalam “policy talk” ke-2 yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Beliau berkata, ia adalah petanda pasaran kerja tidak dapat memadankan individu terlatih dengan kerja sesuai.
“Kalau hendak jual nasi lemak, kita seharusnya ada universiti yang menempatkan pelajar untuk belajar bagaimana hendak jual nasi lemak, tetapi kita tidak ada universiti seperti ini.”
Pada Oktober 2016, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2017 membangkitkan perniagaan “Nasi Lemak Anak Dara” yang diusahakan graduan universiti.
“Apapun, kerajaan kini harap dan kita galakkan individu-individu terutamanya para graduan yang ingin menjadi usahawan seperti ini didoakan agar terus berusaha dan berjaya,” kata perdana menteri.
Dalam Bajet 2017 juga, kerajaan menggalakkan golongan B40 bekerja sebagai pemandu e-hailing dan mereka boleh memiliki kenderaan baharu melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), di samping rebat sehingga RM4,000 untuk pembelian Proton Iriz.
Laporan Ekonomi 2017/2018 yang dikeluarkan untuk Bajet 2018 berkata, ekonomi perkongsian berbilion ringgit tempatan termasuk perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber berpotensi membantu golongan berpendapatan rendah mendapat lebih banyak wang dan mengurangkan kadar belia menganggur.
Dr Mahathir menerusi “policy talk” hari ini turut memfokuskan pemerkasaan belia dan peranan mereka di bawah pentadbiran PH, jika mereka berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14.
Katanya, walaupun penglibatan generasi muda penting, potensi penuh mereka dapat dicapai dengan bantuan golongan senior.
“Kita perlu gandingan antara pemuda dengan idealisme mereka dengan pengalaman didapati orang yang sudah bekerja, berumur. Kalau ada gandingan ini, barulah sesuatu idea itu dapat direalisasikan.
“Sementara kita alu-alukan peranan pemuda, kita tidak boleh ketepikan pengalaman orang lebih tua, pengalaman jadi pengajaran yang baik, pengalaman adalah guru yang terbaik.”
Pengerusi PPBM itu turut berjanji menambah peruntukan untuk pendidikan, jika mereka berjaya menawan Putrajaya.
“Kita dapati ada keadaan yang tidak menyenangkan kerana di satu pihak ada yang katakan laporan mengenai negara kita berada di tahap baik, tetapi rakyat pula ramai yang tidak ada peluang pekerjaan.
“Sudah tentu mereka ini terdiri daripada pemuda dan kita dapati pelajaran hari ini tidak menyediakan anak muda kita untuk bekerja, sebaliknya peruntukan untuk Pejabat Perdana Menteri begitu tinggi,” katanya.