Dr M tidak dibenarkan lawat Anwar

Dr M tidak dibenarkan lawat Anwar

Dr Mahathir diberitahu Jabatan Penjara Malaysia bahawa mereka diarah untuk tidak membenarkan beliau bertemu Anwar oleh pihak atasan di KDN.

Mahathir2
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dibenarkan melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras.

Bekas perdana menteri itu meluahkan rasa sedihnya selepas diberitahu Jabatan Penjara Malaysia bahawa mereka diarah untuk tidak membenarkan beliau bertemu Anwar oleh pihak atasan di Kementerian Dalam Negeri.

“Tidak ada sebab…mereka kata mereka dapat arahan daripada seseorang yang tinggi yang saya tak dibenarkan untuk berjumpa Anwar,” katanya pada pemberita di ruang legar hospital hari ini.

“Perkara macam ini tak pernah berlaku di zaman sewaktu saya adalah seorang diktator. Tak pernah saya larang sesiapa pun untuk berjumpa tapi kerajaan yang digelar demokratik ini nak pergi tengok orang sakit pun tak boleh,” tambahnya.

 

Dr Mahathir memberitahu pemberita bahawa beliau mahu bertemu Anwar untuk berterima kasih secara peribadi kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri Pakatan Harapan.

Anwar sedang menjalani proses pemulihan selepas menjalani pembedahan bahu November tahun lalu.

Pakatan Harapan Ahad lepas mengumumkan Dr Mahathir calon perdana menteri mereka untuk pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi. Beliau digandingkan dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kempen PPBM, PKR, DAP dan Amanah untuk menewaskan Barisan Nasional.

Ditanya sama ada beliau akan membuat rayuan kepada KDN selepas dihalang bertemu seterunya hari ini, Dr Mahathir tidak percaya kerajaan akan menjawab suratnya.

“Dalam kerajaan sekarang ni bila kita tulis surat, dia tak jawab. Kita buat permohonan untuk daftar PH tak jawab. Bila kita hantar peringatan tak jawab,” katanya.

“Tak ada maklum balas jadi kami pun tak tahu sama ada mereka mahu membenarkan atau tidak. Kita boleh cuba dan mencuba, saya boleh hantar ratusan permohonan atau tengok Deklarasi Rakyat tapi ia tidak akan jadi,” katanya.

Di Twitter, Dr Mahathir berkata puteri Anwar, Nurul Izzah mengiringinya untuk bertemu Anwar.

“Hari ini, Nurul Izzah jadi ‘tour guide’ saya untuk jumpa rakan lama. Rakan seperjuangan. Rakan yang banyak berkorban yang ingin saya ucapkan terima kasih.”

Anwar selama ini merupakan pilihan pertama Pakatan Harapan untuk jawatan perdana menteri, namun pemenjaraan beliau, selepas disabitkan bersalah atas tuduhan liwat, menghalang cita-cita itu.

Ura-ura sebelum ini ialah Dr Mahathir akan menjadi perdana menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan dan layak mengambil alih jawatan itu.

Jabatan Penjara dilaporkan berkata Anwar akan tamat menjalani hukuman penjara 5 tahun pada 10 Jun ini, dan akan dibebaskan pada hari bekerja, 8 Jun, selepas diberi 1/3 remitan daripada hukumannya. Bagaimanapun, Anwar hanya akan layak menyertai pilihan raya 5 tahun selepas hari pembebasan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.