BN boleh pertahan kubu di Kota Samarahan

BN boleh pertahan kubu di Kota Samarahan

Sekiranya pembangkang meletakkan calon mereka di Kota Samarahan pada PRU14 sehingga berlaku pertandingan 3 penjuru, BN/PBB dijangka boleh menang selesa di kerusi itu.

sarawak_bn_600_baru
KUCHING:
Kota Samarahan yang dahulunya sebahagian daripada Kuching merupakan satu daripada 12 bahagian pentadbiran di Sarawak.

Dengan populasi kira-kira 160,000 orang, kampung yang dahulunya menjadi pusat perdagangan kepada pelbagai etnik di Sarawak seperti orang Bidayuh, Iban, Melayu dan Cina, kini berkembang menjadi pusat pendidikan.

Faktor utama perubahannya disebabkan perhatian daripada bekas ketua menteri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang kini gabenor negeri itu.

Taib ialah presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang mempertahankan kerusi Parlimen Kota Samarahan hampir 2 dekad, dengan memenangi 4 pilihan raya umum (PRU) dari 1990 hingga 2008, termasuk menang tanpa bertanding pada 1995 dan 2004.

Walaupun ia kerusi penting, tetapi parti pembangkang di Sarawak kurang berminat bertanding di kerusi tersebut kerana Taib atau calon BN lain boleh menang dengan mudah.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang parti lain mencabar Taib, dengan Permas, PKR dan PAS menurunkan calon mereka yang hanya mampu memberi sedikit tentangan.

Pada 2008, Taib memberi laluan kepada anaknya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib yang menang mudah dan dilantik sebagai timbalan menteri pelancongan.

Tetapi, Sulaiman tidak seperti bapanya yang menghadapi kesukaran dalam politik. Beliau tiba-tiba melepaskan jawatan timbalan menteri dan bersara “secara misteri” daripada politik hanya selepas 1 penggal menjadi ahli Parlimen Kota Samarahan.

Pada PRU13, Rubiah Wang, bekas guru dan pegawai daerah bertanding di kerusi itu atas tiket PBB dan mengalahkan calon PAS dengan majoriti besar 17,401 undi untuk menjadi ahli Parlimen wanita pertama di Kota Samarahan.

Kawasan itu kini terdiri daripada 65% pengundi Melayu, 22% (Dayak) dan 12% (Cina).

Dengan kepesatan ekonomi di kawasan itu, pengundi pada umumnya gembira dan PBB sekali lagi dijangka mendapat kemenangan mudah.

Rubiah dikenali sebagai ahli Parlimen rajin yang sering turun padang menemui pengundi. Latar belakang sebagai pendidik sangat membantu dalam kerjaya politiknya.

Beliau disokong 3 rakan PBB yang merupakan adun di Asajaya, Muara Tuang dan Stakan, semuanya di bawah kerusi Parlimen Kota Samarahan.

PBB dijangka mencalonkan Rubiah untuk Kota Samarahan buat penggal ke-2.

Dahulu, pertandingan 2 penjuru tidak mampu menjejaskan kubu kuat BN itu dan sekiranya pembangkang meletakkan calon mereka di Kota Samarahan pada PRU14 sehingga berlaku pertandingan 3 penjuru, BN/PBB dijangka boleh menang selesa di kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.