
Presidennya, Kamarozaman Abd Razak berkata, kod etika itu bertujuan mengelakkan guru diserang ibu bapa tanpa berunding dengan pentadbir sekolah terlebih dahulu.
Beliau berkata, kod etika itu akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat untuk dibincang bersama ibu bapa.
Katanya, ia terdiri daripada 15 perkara dan 8 tingkah laku yang perlu dihindari ibu bapa di semua sekolah serta institusi pendidikan termasuk kolej vokasional, matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah seliaan Kementerian Pendidikan.
Beliau berkata, NUTP hanya mendedahkan 3 daripada 23 perkara yang dicadangkan itu kepada media dan selebihnya akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan Kementerian Pendidikan bersama ibu bapa.
“Antara perkara dicadangkan adalah pertama, ibu bapa dan penjaga perlu merujuk pengetua, guru besar atau pentadbir institusi jika mempunyai masalah dengan guru berkaitan anak mereka.
“Kedua, ibu bapa serta penjaga tidak dibenarkan membawa masuk topi keledar atau benda yang boleh mendatangkan mudarat atas dasar keselamatan, dan sekolah berhak menghubungi polis jika arahan ini tidak dipatuhi.
“Ketiga, menyalahgunakan atau memberi mesej bernada ancaman sama ada menerusi e-mel, teks, mel suara, panggilan telefon atau komunikasi bertulis lain, termasuk media sosial seperti Facebook,” katanya pada sidang media Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga di Wisma NUTP hari ini.
NUTP yang mempunyai kira-kira 200,000 ahli sebelum ini menggesa Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga secepat mungkin sebagai panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.
Ia selepas kes seorang guru, Azizan Manap, 44, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas dakwaan mencederakan seorang muridnya pada 6 April lalu. Dia kemudiannya dilepas tanpa dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan itu.
Pada 22 Disember lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, pihaknya sedia menerima cadangan NUTP itu dan akan menemui mereka bulan ini.
Kamarozaman berkata, NUTP berharap Kementerian Pendidikan segera menetapkan tarikh pertemuan untuk membincangkan kandungan kod etika itu, sekaligus mengedarkannya kepada semua ibu bapa.
“Kod etika ini adalah garis panduan. Ibu bapa boleh datang ke sekolah untuk selesaikan masalah tertentu, namun perlu ada kaedah dan tata susila.
“Kami harap sebarang perkara berbangkit cuba diselesaikan di peringkat sekolah, sebelum dilaporkan kepada polis yang sepatutnya adalah langkah terakhir.”
Kamarozaman turut menggesa kerajaan menyemak dan menerbitkan semula buku Panduan Am Disiplin Sekolah dan Panduan Tatacara Disiplin Sekolah Untuk Guru Besar Dan Guru yang kali terakhir diterbitkan pada 1981 dan 1988.
“Buku ini adalah panduan kepada pengurusan sekolah dalam menguruskan isu disiplin, namun bukan saja sudah tidak diulang cetak, malah tidak lagi ada di pasaran. Arkib Negara juga tidak memiliki buku ini.
“Kementerian perlu mengemas kini serta menerbitkan semula buku panduan ini dan memberikannya kepada semua 10,100 sekolah di negara ini serta ibu bapa supaya tidak lagi timbul salah faham dan fitnah antara mereka dan guru.”
Cadangan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga oleh NUTP itu turut dipersetujui beberapa NGO lain seperti Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Friends For Life (LFF), Kesatuan Guru Sarawak, Yayasan Guru Tun Hussein Onn dan polis.