Khalid: Amanah Johor boikot konvensyen tak jejas hubungan PH

Khalid: Amanah Johor boikot konvensyen tak jejas hubungan PH

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, hanya sebahagian pimpinan Amanah Johor yang tidak menghadiri konvensyen hari ini.

khalid-samad
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika ditemui FMT di Konvensyen Pakatan Harapan di IDCC, Shah Alam
SHAH ALAM:
Tindakan Amanah Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) hari ini adalah perkara biasa yang tidak akan menjejaskan hubungan 4 parti pembangkang dalam gabungan itu, kata Khalid Samad.

Pengarah komunikasi Amanah itu berkata, hanya sebahagian pimpinan Amanah Johor yang tidak menghadiri konvensyen hari ini.

“Bukan semua hanya sebahagian. Bagi saya perkara biasa, tak jejas sama sekali hubungan dalam PH.

“Apa kita mahu dalam PH, menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) atas 2 gelombang, iaitu (pengaruh) dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada FMT pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Amanah Johor dilaporkan memboikot Konvensyen PH 2018 kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kerusi Parlimen antara 4 parti komponen di negeri itu.

Pengerusi Amanah Johor, Amiroulhuda Hassan dilaporkan berkata, parti itu hanya diberikan 2 daripada 26 kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU14.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pembahagian kerusi PH sudah selesai dibincangkan petang semalam dan keputusannya akan diumumkan petang ini.

“Ada yang tidak berpuas hati, dan malangnya mereka berbuat demikian. Apa yang penting kita menang dan menumbangkan BN.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.