Jepun mahu bida projek kereta api KL-Singapura

Jepun mahu bida projek kereta api KL-Singapura

Duta besar Jepun ke Malaysia berkata, Tokyo akan menawarkan pakej menyeluruh meliputi kewangan, pembangunan vendor tempatan dan pemindahan teknologi terbaik serta menyeluruh berasaskan sistem kereta api laju Shinkansen.

hsr-japan
KUALA LUMPUR:
Jepun membuat tawaran besar untuk kontrak Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara.

Pendekatan pakej Jepun itu sangat menyeluruh, dengan teknologi terbaik HSR berasaskan sistem kereta api laju terkemuka di dunia, Shinkansen, selain pemindahan teknologi menyeluruh dan pembangunan vendor tempatan untuk memberi manfaat kepada syarikat Malaysia dan Singapura, kata Duta Besar Jepun ke Malaysia, Makio Miyagawa.

“Kami akan menawarkan sepenuhnya teknologi kepada rakyat Malaysia dan Singapura serta melatih pegawai, pengendali dan jurutera di kedua-dua negara supaya mereka dapat memulakan operasi itu sendiri mulai hari pertama.

“Jepun juga pasti akan menawarkan pakej kewangan terbaik yang akan membantu kedua-dua negara mengurangkan sebanyak mungkin beban kewangan bagi memperkenalkan sistem ini,” kata Miyagawa kepada Bernama dalam satu temu bual.

Bidaan untuk HSR yang dilihat sebagai usaha sama pencetus perubahan antara Malaysia dan Singapura, perlu dikemukakan pada pertengahan tahun ini dengan kontrak dijangka diberikan pada akhir tahun.

Pembida lain projek itu mungkin termasuk dari China, Korea Selatan dan Perancis.

HSR sepanjang 350km yang bermatlamat mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit, dan merangsang ekonomi di beberapa kawasan di sepanjang laluan itu, dijadual memulakan operasi pada 2026.

Pada 22 Disember lalu, MyHSR Corp Malaysia dan HSR Private Ltd Singapura mengumumkan mereka akan mula menerima tawaran untuk “syarikat aset kereta api” yang akan bertanggungjawab untuk mereka bentuk, membina, membiayai, mengendalikan dan mengurus semua aset kereta api.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilaporkan berkata, projek itu yang mempunyai 8 stesen akan menelan belanja kira-kira RM50 hingga RM60 bilion.

Miyagawa berkata, kedudukan Jepun dalam bidaan itu selari prinsip bantuan ekonomi negara itu yang sudah lama terjalin, khususnya di Asia.

“Prinsip bantuan ekonomi kita sudah lama wujud dan Jepun mahu melihat negara penerima berdikari. Bukanlah cara Jepun untuk menang (kontrak) dan lari. Itu tidak bertanggungjawab.”

Beliau berkata, Jepun menawarkan teknologi, modal insan dan sumber kewangan bagi membolehkan syarikatnya bekerjasama dengan syarikat di negara penerima supaya kedua-dua kumpulan syarikat dan sektor swasta dapat bergerak bersama untuk kemajuan bersama.

“Dalam sistem kereta api laju, sektor kerajaan dan swasta sudah bersedia dan sangat berminat untuk bekerjasama dengan industri tempatan di Malaysia dan Singapura supaya pemindahan teknologi dan modal insan secara beransur-ansur akan berjaya, serta membantu negara penerima teknologi baharu seperti Malaysia dan Singapura mengendalikan sistem dari peringkat awal lagi.”

Beliau berkata, projek yang berkekalan ini sudah pasti akan merangsang dan mencergaskan semula serta mengukuhkan lagi ekonomi Malaysia dan Singapura dengan menghubungkan kedua-dua bandar raya serta bandar besar dan makmur di Asia.

“Perhubungan akan meningkat dan di sepanjang jajaran banyak bandar akan berkembang. Dan itulah sebabnya kami sangat gembira untuk mengambil bahagian dalam projek ini.”

Beliau berkata, kelebihan Jepun berbanding pembida lain wajar dilihat dari aspek paling penting dalam sistem pengangkutan awam, iaitu keselamatan.

Jepun mempunyai rekod sempurna dan diiktiraf di seluruh dunia.

“Jepun mencipta teknologi kereta api laju. Kelebihan Shinkansen ialah ia beroperasi hampir 50 tahun tanpa sebarang kemalangan maut atau masalah modal insan. Inilah kelebihan sistem yang didasarkan pada keunggulan perkakasan serta kecemerlangan operasi perisian berasaskan pengetahuan terkumpul yang dimiliki jurutera dan pengendali di Jepun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.