
Bulan lalu, ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi dan nilai ringgit lemah di Twitternya, manakala Fathia Latiff pula mempersoalkan mengapa kerajaan hanya menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing dialami Bank Negara pada 1990-an, tahun lalu.
Aishah yang juga ahli Majlis Tertinggi Wanita Amanah, kecewa dan menyifatkan tindakan mengecam dan menghukum artis yang menyuarakan pendapat mereka mengenai masalah negara sebagai salah.
“Selalunya golongan artis yang menyuarakan pendapat mereka akan dihentam habis-habisan. Sampai paling jengkel bila artis bersuara tentang kos sara hidup, dia terus kata kau berlakon betulkan dulu.
“Saya bersyukur bila ada artis-artis sanggup melontarkan pendapat mereka. Ini menunjukkan artis-artis mempunyai sel-sel yang berhubung dalam otak.
“Sepatutnya kita tidak payah maki hamun, tetapi hormat pendapat dia,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.
Aishah berkata, kehidupan artis bukannya 24 jam berkaitan nyanyian atau lakonan, sebaliknya politik adalah perkara yang perlu dihadapi dan akan menjejaskan semua rakyat, termasuk artis.
“Saya seru rakan-rakan artis kena ambil tahu kerana setiap keputusan politik akan memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Jadi, kita tak boleh kata artis tak boleh ada pegangan politik. (Kena) ambil tahu.”
Aishah yang menjuarai Gegar Vaganza (GV) musim ke-4 tahun lalu berkata, sepatutnya pemimpin negara mendengar pendapat dan suara artis.
“Sepatutnya diberi satu tepukan gemuruh kerana dalam dunia yang glamour dan kaya, beliau masih lagi prihatin kepada kehidupan rakyat marhaen.
“Saya anggap artis juga golongan prof dan artis sekarang lebih bijak. Kami berdiri sebagai rakyat yang inginkan kesejahteraan.
“Kami bersuara bukan kami benci. Kami suarakan kerana kami sayangkan tanah air.”
Bekas calon PAS di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 2013, yang menyertai Amanah 2 tahun kemudian berkata, disebabkan pendirian politiknya, beliau mungkin tidak dibenarkan muncul di kaca televisyen lagi.
“Banyak tahun saya tak keluar TV hanya kerana saya berani bersuara. Walau apapun pegangan artis, mereka (sepatutnya) dibenarkan untuk berkarya dalam industri seni seperti orang lain tanpa diskriminasi.”