
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata pihak berkuasa perlu menyiasatnya di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) memandangkan ia jumlah besar yang tidak diketahui sumbernya.
Lim merujuk laporan akhbar Sin Chew Daily Rabu lalu, mengenai wang berjumlah RM19 juta menerusi projek Agro4U di Kelantan.
“Sekiranya perdana menteri sendiri pun kena beritahu dari mana datangnya RM2.6 bilion dalam akaun peribadi… ini dana RM19 juta pun kena beritahu dari mana datangnya, sama ada sumber yang betul, bersih atau sumber yang haram,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
Menurut Sin Chew Daily, 2 pengarah Syarikat Pertanian M&S Sdn Bhd merupakan anak kepada Musa, sementara Musa adalah pengerusinya.
Laporan itu memetik pengurusan syarikat sebagai berkata RM19 juta diterima daripada seorang wanita tidak dinamakan.
“Bagi saya, pihak kerajaan tidak boleh biarkan sahaja, mesti siasat identiti wanita itu,” kata Lim.
Menurutnya, dana itu juga turut digunakan untuk menjalankan Agro4U, projek bersama dengan kerajaan persekutuan.
Sementara itu, DAP akan melaporkan perkara itu kepada Bank Negera Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Saya rasa kes ini penting kerana ia melibatkan bekas IGP dan juga soal pengubahan wang haram,” kata ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu.