
“Saya akan buat kenyataan kepada anda semua,” katanya kepada FMT hari ini.
Dr Mahathir dalam sidang media hari ini menafikan beliau terbabit dalam pemecatan Salleh pada 1988, yang kerap disifatkan pengkritik sebagai titik penting dalam sejarah kehakiman negara.
Peristiwa itu dikatakan menghapuskan kebebasan mahkamah di negara ini.
Dr Mahathir sebaliknya menuding jari ke arah peguam negara ketika itu, iaitu Abu Talib, sambil mendakwa namanya digunakan untuk melindungi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Iskandar Sultan Ismail.
“Saya tidak campur tangan langsung, kemudian baru saya tahu konon dia (peguam negara) kata saya suruh. Saya berani junjung Quran masuk dalam masjid dan bersumpah bahawa saya tidak suruh,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Menurutnya, pemecatan Salleh adalah kemahuan Sultan Iskandar, yang murka dengan surat Salleh mengadu bunyi bising berpunca dari kerja penambahbaikan kediaman sultan di Kuala Lumpur.
Tribunal kehakiman yang dianggotai hakim kanan diadakan bagi memecat Salleh atas alasan terbabit salah laku pada 1988.
Pada Julai 2017, Abu Talib dipetik Malaysiakini sebagai berkata, krisis kehakiman pada 1988 berpunca daripada hakim Mahkamah Tinggi dan Agung sendiri yang mencadangkan pemecatan Salleh.
Katanya, beliau dan Dr Mahathir tiada pilihan kecuali mematuhi arahan Agong untuk menubuhkan tribunal kehakiman itu.
Dr M: Peguam negara guna nama saya, bukan saya pecat Salleh Abas