Dalam serangan terkini, Utusan persoal jasa Dr Mahathir

Dalam serangan terkini, Utusan persoal jasa Dr Mahathir

Ia menyorot kembali apa yang disifatkannya kekecewaan pemimpin yang pernah bertugas di bawah bekas perdana menteri itu.

mahathir_utusan_600
PETALING JAYA:
Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan jasa Tun Dr Mahathir Mohamad kepada negara, sambil berkata bekas perdana menteri itu terlalu banyak mengecewakan tokoh lain sepanjang pentadbirannya.

Dalam artikel oleh editor kanannya Zulkifli Harun, akhbar itu berkata pengalaman pemimpin lain daripada Bapa Kemerdekaan Malaysia Tunku Abdul Rahman sehinggalah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti Dr Mahathir tidak boleh dipercayai.

“Sebesar mana jasa Dr Mahathir pun, tidak sama dengan jasa Tunku. Almarhum mengorbankan harta, takhta dan segala-galanya untuk kemerdekaan negara,” tulisnya dalam akhbar dikaitkan Umno itu.

“Tidak seorang anak Tunku pun menjadi bilionair atau jutawan seperti mana anak-anak Dr Mahathir,” katanya merujuk tuduhan yang kerap dibuat ke atas bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan Pakatan Harapan (PH).

Rencana itu kemudian menyentuh satu persatu pengalaman 3 bekas timbalan pemimpin lain, iaitu Tun Musa Hitam, Tun Abdul Ghafar Baba dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Mengenai Ghafar, ia berkata veteran Umno itu ditumbangkan Anwar yang disifatkan sebagai “orang muda baru berkeris masuk Umno melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa”.

Anwar dipilih menjadi timbalan perdana menteri pada 1993, menggantikan Ghafar yang ditewaskan melalui pencalonan Umno bahagian seluruh negara untuk jawatan timbalan presiden.

“Peristiwa itu menyaksikan Ghafar ‘dibelasah’ oleh Umno sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri. Jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk Umno dilupakan begitu sahaja. Sedikit penghormatan dengan memberi pencalonan kepada beliau pun Umno tidak sanggup,” tulis Zulkifli, dalam artikel yang turut memuatkan gambar Ghafar membawa sebuah beg plastik ketika bersedia menaiki penerbangan ke Indonesia sehari selepas ditumbangkan.

Berdasarkan sejarah itu, Utusan, merujuk spekulasi PH mahu menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri sementara sekiranya menang pada pilihan raya umum nanti, akan terus mempercayai bekas perdana menteri itu.

“Adakah dengan menamakan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan akan melegakan pakatan itu sementara Anwar Ibrahim keluar penjara?

“Atau adakah mereka dalam Pakatan Harapan akan senasib Tunku, Musa dan Ghafar?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.